31 Mei 2011

Meminta sesuatu yang mustahil

Meminta sesuatu yang mustahil
Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN
Kebergantungan manusia hanyalah kepada Allah SWT kerana sifat manusia yang lemah.
- Gambar hiasan
——————————————————————————–
DI antara dakwaan batil yang dipegang oleh orang-orang yang suka mengkafirkan orang yang bertawassul atau meminta dengan Nabi SAW ialah: “Ramai manusia sering meminta kepada para nabi dan orang-orang soleh yang telah meninggal dunia, sesuatu yang di luar kekuasaan mereka dan hanya mampu dilaksanakan oleh Allah. Meminta seperti yang demikian itu adalah perbuatan syirik.”
Jawab kita, dakwaan seperti ini hanya merupakan salah faham sebahagian umat Islam sejak zaman dahulu hingga sekarang. Sebenarnya, orang-orang yang meminta daripada Nabi atau orang-orang soleh itu hanya menjadikan mereka sebagai sebab, wasilah atau perantara bagi mendapatkan apa yang mereka pinta daripada Allah SWT.
Mereka berharap Allah menunaikan permintaan mereka disebabkan syafaat, doa dan permohonan mereka kepada Allah SWT sebagaimana terkabulnya permohonan orang buta dan orang-orang lain yang datang kepada Nabi Muhammad SAW memohon, meminta tolong dan bertawassul dengannya kepada Allah SWT.
Ternyata, Nabi SAW telah dapat memenuhi permohonan mereka dan merealisasikan keinginan mereka dengan izin Allah. Namun, Nabi Muhammad SAW tidak pernah mengatakan walau kepada seorang pun daripada mereka, bahawa kamu telah menyekutukan Allah.
Baginda SAW juga dapat memenuhi setiap permohonan mereka dalam perkara-perkara luar biasa yang mencarik adat seperti dapat menyembuhkan penyakit yang kronik tanpa menggunakan sebarang ubat. Baginda SAW juga pernah diminta supaya memohon diturunkan hujan, dan selepas itu hujan turun ketika mereka memerlukan tanpa ada awan.
Bahkan, Nabi SAW juga dapat mengembalikan mata seorang sahabat yang telah terkeluar daripada kelopak matanya, memancarkan air daripada jari-jemarinya, memperbanyakkan makanan yang sedikit, dan perkara-perkara luar biasa lain yang berada di luar kemampuan seorang manusia, menurut kebiasaannya.
Nabi SAW mengkabulkan permohonan mereka, dan tidak pernah berkata kepada mereka, “Sesungguhnya kamu sekalian telah menyekutukan Allah, maka perbaharuilah keIslaman kamu kerana kamu telah meminta daripadaku, apa yang tidak dapat aku lakukan kecuali Allah SWT.”
Jadi, apakah mereka yang mendakwa ini lebih mengetahui tentang tauhid dan perkara-perkara yang mengeluarkan seseorang daripada tauhid, daripada Nabi Muhammad SAW dan para sahabatnya RA? Sikap mereka ini tidak akan diterima oleh orang jahil, apatah lagi orang alim.
Berbalik kepada kisah sabda Nabi Sulaiman AS kepada ahli majlisnya dari kalangan jin dan manusia tadi, maka penjelasan terhadap kesamaran ini, (jika kesamaran itu masih ada) ialah, apa yang sebenarnya diminta oleh sebahagian kaum Muslimin daripada para Nabi AS atau orang-orang soleh ialah menjadikan mereka sebagai perantaraan kepada Allah bagi mendapatkan keinginan dan hajatnya.
Yang demikian itu, termasuk daripada perkara-perkara yang dikurniakan kuasa kepada mereka oleh Allah SWT. Maka orang yang mengatakan, “Wahai Nabi Allah! Sembuhkanlah aku, atau tolong lunaskanlah hutangku!”, sebenarnya bermaksud, “Bantulah aku dalam mengubati penyakit, berdoalah untukku agar dapat dilunaskan hutangku, hadapkanlah kepada Allah permasalahanku ini.” Jadi, mereka yang memohon bantuan kepada orang-orang soleh dan para nabi itu hanya memohon apa-apa yang dikuasakan dan dikurniakan oleh Allah kepada mereka untuk melakukannya, seperti mendoakan mereka dan menjadi perantaraan mereka untuk mendapatkan pertolongan daripada Allah.
Inilah yang kami yakini dan percayai terhadap orang-orang yang mengucapkan perkataan sedemikian dan atas keyakinan ini, kami mentaati Allah.
Jadi, penisbahan atau penyandaran yang terdapat di dalam perkataan mereka itu sebenarnya merupakan majaz ‘aqli yang tidak membahayakan tauhid orang yang mengucapkannya, seperti firman Allah SWT: Maha Suci Tuhan yang telah menciptakan makhluk-makhluk semuanya berpasangan; sama ada yang ditumbuhkan oleh bumi… (Yaasiin: 36).
Begitu juga seperti yang disebut di dalam sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya apa yang tumbuh pada musim bunga daripada pelbagai tumbuh-tumbuhan boleh membawa kematian atau kembung kepada haiwan.”
Terdapat banyak ungkapan yang mengandungi majaz ‘aqli; baik di dalam al-Quran, hadis Nabi , atau pun perkataan manusia yang khas dan awam. Ia tidak membahayakan kerana perkataan tersebut keluar daripada orang-orang yang mentauhidkan Allah; yang menjadi qarinah bagi apa yang mereka maksudkan. Tidak terdapat di dalam perkataan tersebut perkara-perkara yang menunjukkan sikap kurang baik atau tidak beradab. Kami telah menjelaskan secara terperinci mengenai hakikat permasalahan ini di dalam tulisan-tulisan sebelum ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan