22 September 2012

Musim Haji 1433H : Bani Hashim (Keturunan Rasulullah ) di Makkah.



Musim Haji 1433H : Bani Hashim (Keturunan Rasulullah ) di Makkah.




Musim Haji 1433H : Bani Hashim (Keturunan Rasulullah S.A.W ) di Makkah.


Pengalaman ini saya alami ketika diizinkan oleh ALLAH SWT untuk menunaikan umrah pada Mei 2010. Dari saat sebelum menunaikan Umrah, saya berdoa semoga ALLAH temukan dengan nasab Junjungan Mulia Sayyiduna Muhammad  S.A.W . Saya mendengarnya dari lisan guru-guru saya agar menziarahi ahlul bayt Sayyiduna Muhammad S.A.W , berkhidmat kepada mereka hatta termampu melemparkan senyum.


Sejak tiba di bumi Madinah, asal sahaja bertemu Habaib di sana saya bertanyakan kisah Bani Hashim yang berada di Bumi Hijjaz [sebelum ditukar kepada Arab Saudi] dalam rampasan kuasa terancang oleh wahhabi. Ia dimulai oleh Muhammad Bin Abdul Wahab sejak tahun 1125 H / 1713 M. Pada waktu tersebut gerakkan menjatuhkan empayar Kerajaan Uthmaniyyah giat dijalankan. Ia dijalankan secara rahsia dengan penyerapan fitnah dan sengketa. Paling utama, apabila sesebuah pemerintahan dijauhkan dari amalan kerohanian dan majlis-majlis keilmuan, maka amat mudah musuh mengambil tempat. Sifat tamak dan gila kuasa apabila ada pada jiwa, halal diharamkan dengan kewenangan.


Pada 10 Mei 2010, sehari sebelum bertolak pulang, usai menunaikan solat fardhu Asar, dalam doa akhir saya bermohon dengan lintasan di dalam hati agar dipertemukan dengan keturunan Sharif Makkah selepas mereka diusir oleh kerajaan saud dan wahhabi. Selesai mengusapkan tangan ke wajah, tegur seorang Pak Arab yang didalam gambar tersebut disisi kanan Syeikh. Beliau memperkenalkan diri dengan nama sebagai Yusuf al-Mansor, seorang usahawan dari Dubai dan menyatakan amat bangga dengan kemajuan Malaysia. Menurut beliau UAE menjadikan Malaysia sebagai acuan bernegara. Saya pintas, mohon ambil yang baik dan doakan serta jauhi  buruk yang kelihatan.


Beliau menyatakan, dalam sebulan sekurang-kurangnya sekali beliau akan menziarahi Makam Sayyiduna Muhammad S.A.W dan menunaikan Umrah. Menurut beliau lagi, akan kerap ke Madinah dan Makkah apabila berdepan dengan isu dan terbeban masalah. ALLAH.... Kali ini beliau ke bumi suci ini bersama isteri ketiga. Had ni, biarlah rahsia na. Etika kerahsiaan Kaunselor  ^_^


Memang ramah dan mesra. Kemudian beliau bertanyakan kepada saya, mahukan Tuan bertemu dengan Syeikh Ahmad ? Cucunda Sayyiduna Muhammad S.A.W yang bersalasilah dengan Raja Jordan. Saya : hanya menitiskan airmata kesyukuran tidak-tidak terhingga.  Entah bagaimana perasaannya ya.


Syeikh Yusuf al-Mansor memimpin tangan saya menuju ke sebuah tempat yang betul-betul menghadap pancuran emas Kaabah. Seorang lelaki sedang menuangkan teh kemudian dimasukkan daun pudina. Usai memberi salam dan ta’ruf. Dalam bualan tersebut Syeikh Ahmad menceritkan mengenai kisah penaklukan Bumi Hijjaz dan peranan wahhabiah. Emm...berderai airmata. Syeikh Ahmad bukan calang-calang orang, beliau merupakan jutawan berlian dan emas. Syeikh Ahmad menyatakan mengikut kefahaman beliau Raja Jordan merupakan permulaan kepada sistem monarki setelah perpecahan jazirah Arab dibawah ta’luk Yahudi melalui gerakan dan peranan yang dimainkan oleh British dan Amerika Syarikat. Mohon rujuk Kitab Fitnatul Wahabbiah [Karya Al-Allamah Sayyid Ahmad Zaini Dahlan, mantan Mufti Makkah] sebagai rujukan.  Dalam status jutawan masih duduk bersila memberi minum buat para tetamu ALLAH. Hari itu beliau berkelapangan, jika bukan beliau akan ada anak atau pekerja beliau yang akan memberikan minuman.


Dalam masa kami berbual pasti Syeikh Ahmad disapa oleh Pakcik-Pakcik Arab yang melalui kami. Terakhir, semasa gambar ini diambil, seorang “Syeikh Arab berjubah tinggi dari paras buku lali terjerit-jerit : “..bid’ah..bid’ah..bid’ah...”. Dengan senyum menguntum Syeikh Ahmad berkata kepada kami : “..biarkan dia, kewarasannya tidak sihat, moga ALLAH mengampunkannya...”.


Buat para tetamu ALLAH menuju Fisabilillah, Mohon doakan alfaqir, keluarga, pejuang ASWAJA dan Ulama di Baitullah.. Mohon doa mendoakan. Semoga Tuan Puan memperolehi Haji mabrur.


اللهم صل على سيدنا محمد و على اله و صحبه و بارك و سلم



Al-faqir ilallah :
Almukminun
2 Zulkaedah 1433H/18092012

MAJLIS HARI INI


JANGAN SIA-SIAKAN PAHALA SEMBAHYANG FARDHU JUMAAT HANYA KERANA TELEFON BIMBIT



JANGAN SIA-SIAKAN PAHALA SEMBAHYANG FARDHU JUMAAT HANYA KERANA 
 TELEFON BIMBIT  

Oleh : Mufti Brunei

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Dalam era perkembangan sains dan teknologi zaman ini, berbagai-bagai peralatan baru dan canggih muncul  bagaikan cendawan.

Salah satu daripada peralatan tersebut, yang dimiliki oleh kebanyakan orang pada masa kini ialah telefon bimbit. Tidak dinafikan bahawa tuntutan keperluan hidup di zaman yang serba canggih dan  moden ini menjadikan  penggunaan telefon bimbit seakan-akan satu kemestian kerana  kewujudannya banyak
membantu mempermudahkan tugas dan pekerjaan. Di samping itu, ia juga mampu mempermudahkan perhubungan  sesama kaum keluarga, sanak-saudara, rakan-taulan dan sebagainya. Selain aplikasi-aplikasi perhubungan, terdapat juga berbagai jenis dan bentuk aplikasi yang lain seperti aplikasi-aplikasi peringatan waktu sembahyang, penunjuk arah qiblat, maklumat, berita, permainan game dan sebagainya yang boleh diakses dengan beberapa petikan jari sahaja.

Penggunaan telefon bimbit ini tidaklah menjadi kesalahan selama mana kemudahannnya tidak digunakan ke arah sesuatu yang menyalahi hukum Syara‘. Namun apa yang merungsingkan, keghairahan terhadap penggunaan telefon bimbit ini ada kalanya boleh menyebabkan sebilangan orang lalai dan terlalu asyik
sehingga mereka sentiasa membawa dan menggunakannya tanpa mengira kesesuaian masa dan tempat.

Bahkan ada kalanya ketika sembahyang pun telefon bimbit ini akan dibawa bersama tanpa mematikan (switch off) atau menutup bunyinya terlebih dahulu. Maka akan kedengaranlah bunyi-bunyi nada dering dan sebagainya yang pastinya akan  mengganggu kekhusyukan pemiliknya dan kekhusyukan jemaah yang lain jika bersembahyang jemaah.

Bukti yang paling nyata dapat  dilihat dengan jelas ketika perhimpunan Sembahyang  Fardhu Jumaat. Ketika khatib sedang membacakan khutbah Jumaat, akan kelihatan segelintir jemaah tanpa rasa segan silu menggunakan telefon bimbit untuk menghantar pesanan ringkas (sms), berkomunikasi melalui halaman rangkaian sosial, melayari halaman internet, bermain game dan sebagainya. Apakah pandangan Syara‘ mengenai perkara ini?

Tuntutan Diam Ketika Khatib Membaca Khutbah Jumaat 

Khutbah merupakan salah satu  daripada lima syarat sah Sembahyang Fardhu Jumaat. Ia adalah wasilah terbaik untuk menyampaikan dan menerima nasihat, peringatan serta mesejmesej ukhrawi dan duniawi kepada masyarakat Islam. Ini kerana pada hari Jumaat, kaum muslimin duduk berhimpun dan sembahyang bergandingan di antara satu dengan yang lain, tanpa mengira bangsa, pangkat ataupun rupa.  

Sunat bagi orang yang menghadiri Sembahyang Fardhu Jumaat menghadapkan muka ke  arah imam (ke arah qiblat) kerana menurut Imam Khatib Asy-Syarbini  Rahimahullah, ini adalah adab, dan selain itu  ianya sekaligus membolehkan mereka tetap menghadap qiblat. Perbuatan ini juga sekaligus lebih mempermudahkan seseorang itu  untuk menumpukan sepenuh perhatian terhadap khutbah Jumaat yang disampaikan oleh khatib.

Disunatkan juga bagi jemaah untuk diam dan mendengar khutbah Jumaat dan makruh bagi mereka  berkata-kata sepertimana yang dijelaskan dalam sebuah hadits riwayat daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, bahawasanya Rasulullah  Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda: 

Maksudnya: “Jika engkau mengatakan kepada sahabatmu “dengarkanlah (khutbah)” padahal imam pada waktu itu sedang berkhutbah, maka sesungguhnya engkau benar-benar telah berkata sia-sia.” (Hadits riwayat Al-Bukhari dan Muslim) 

Maksud “sia-sia” di sini ialah bertentangan dengan sunnah, adab, dan mengakibatkan rugi pahala dan kelebihan-kelebihan Sembahyang Fardhu Jumaat  walaupun sembahyangnya masih dikira sah. 

Dapatlah difahami daripada hadits ini bahawa apa pun jenis katakata mahupun perbualan adalah dilarang sama sekali ketika khutbah Jumaat sedang dibacakan  atau disampaikan. Ini kerana jika kata-kata seorang jemaah yang menyuruh seorang jemaah yang lain supaya diam dan  mendengar khutbah itu pun sudah
dikategorikan sebagai sia-sia, sedangkan perbuatan itu merupakan satu suruhan ke arah kebaikan, maka apatah lagi kata-kata biasa atau perbualan kosong semata-mata.

Akan tetapi tidak makruh ke atas orang yang mendengar khutbah Jumaat itu berkata-kata jika terdapat darurat, misalnya kerana hendak menyelamatkan orang buta yang hampir terjatuh ke dalam parit atau ternampak binatang berbisa seperti kala jengking atau ular menghampiri seseorang. Maka dalam hal seperti ini, tidaklah dilarang orang yang mendengar khutbah Jumaat itu berkata-kata, bahkan wajib baginya melakukan demikian. Akan tetapi lebih baik (sunat) baginya untuk menggunakan isyarat sahaja jika dia mampu mengelakkan daripada berkata-kata.

Menurut Imam An-Nawawi  Rahimahullah, bagi mereka yang dapat mendengar khutbah, diam mendengarkan khutbah Jumaat itu adalah lebih utama daripada membaca al-Qur’an, berzikir dan
sebagainya. Ini kerana terdapat qaul (pendapat) yang mengatakan bahawa diam untuk mendengar khutbah Jumaat itu adalah wajib.

Adapun bagi orang yang tidak  dapat mendengar khutbah pula, misalnya kerana duduk jauh daripada imam ataupun suara imam tidak dapat didengar, maka adalah lebih utama baginya pada ketika itu membaca al-Qur‘an terutamanya Surah Al-Kahfi, bersalawat, bertasbih, berzikir dan sebagainya dengan suara  yang perlahan supaya tidak mengganggu jemaah-jemaah yang lain.

Hukum Menggunakan  Telefon Bimbit Ketika Khutbah Jumaat 

Adapun perbuatan menggunakan telefon bimbit ketika khatib membaca khutbah Jumaat boleh diqiyaskan kepada maksud sebuah hadits sahih yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, bahawasanya Nabi  Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda: 

Maksudnya: “Sesiapa yang berwudhu dan menyempurnakan wudhunya, kemudian dia (pergi ke masjid) untuk menunaikan Sembahyang Fardhu Jumaat, lalu  mendengar dan tidak bercakap (ketika khutbah disampaikan), maka diampuni dosa-dosanya yang ada di antara hari Jumaat itu dan hari Jumaat berikutnya dan ditambah tiga hari lagi. Dan sesiapa yang bermain-main dengan anak-anak batu (ketika khutbah), maka dia telah berbuat sia-sia”. (Hadits riwayat Muslim)
 
Dalam hadits ini, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dengan jelas telah menegaskan bahawa  barangsiapa yang bermain-main dengan anak-anak batu ketika khutbah Jumaat itu telah melakukan suatu perbuatan yang sia-sia. Maksud “sia-sia” dalam hadits ini sepertimana yang telah diterangkan sebelum ini ialah bertentangan dengan sunnah, adab dan mengakibatkan rugi pahala dan kelebihan-kelebihan Sembahyang  Fardhu Jumaat walaupun sembahyangnya masih dikira sah.

Menurut ulama, larangan dalam hadits tersebut tidak hanya terbatas terhadap bermain dengan anak batu sahaja, bahkan larangan tersebut menyeluruh terhadap semua perbuatan yang boleh menjejaskan tumpuan terhadap khutbah Jumaat.  Jika dinilai dan diteliti, perbuatan menggunakan telefon bimbit ketika khutbah dibacakan ini adalah lebih buruk lagi daripada perbuatan bermain dengan anak batu kerana perbuatan seperti
bermain game, melayari halaman internet, berkomunikasi melalui halaman rangkaian sosial dan sebagainya itu adalah sangat jelas lebih menghilangkan kekhusyukan dan menjejaskan tumpuan terhadap khutbah Jumaat.

Jadi sangat jelas di sini bahawa perbuatan menggunakan telefon bimbit ketika khatib membaca khutbah Jumaat adalah suatu perbuatan yang bertentangan  dengan sunnah dan adab yang menuntut kita supaya diam dan meninggalkan segala perbuatan yang boleh menjejaskan tumpuan terhadap khutbah Jumaat. Oleh
itu, perbuatan ini sayugianya ditinggalkan kerana ianya mengakibatkan kerugian yang sangat besar, iaitu kehilangan pahala dan kelebihan-kelebihan Sembahyang Fardhu Jumaat.

Perhimpunan Sembahyang Fardhu Jumaat itu bukannya lama, tidak ada kerugian apa-apa jika telefon bimbit ditutup seketika atau langsung tidak perlu di bawa ke dalam masjid. Tinggalkanlah buat seketika segala perkara dan urusan duniawi yang  kurang penting apatah lagi yang sia-sia. Hadirkanlah hati dan  seluruh anggota tubuh badan zahir dan batin, dan isikan seluruh jiwa raga dengan perisian rasa khusyu‘, taat, taqwa dan penghambaan yang mutlak terhadap Allah  Subhanahu wa Ta‘aala untuk mendengarkan khutbah dan seterusnya mendirikan Sembahyang Fardhu Jumaat.

Penjelasan sepenuhnya boleh dibaca di sini : http://www.mufti.gov.bn/irsyad/pelita/2011/bil27-2011.pdf

14 September 2012

Salam Jumaat


Salam Jumaat

Alhamdulillah, kita bertemu lagi dengan penghulunya segala hari. Hari yang sentiasa ditunggu-tunggu oleh orang - orang yang beriman bagi menambahkan saham akhirat mereka. Pada hari ini ganjaran amalan kebajikan seseorang akan dibalas dengan berganda sebagaimana dinyatakan oleh Sayyidina Abu Hurairah RA yang diriwayatkan oleh Imam ath-Thabarani bahawa Junjungan Nabi SAW bersabda: " Ganjaran bagi segala kebajikan digandakan pada hari Jumaat". Makhluk Allah selain Bani Adam juga tidak ketinggalan menunggu dan bergembira dengan kedatangan hari yang mulia ini. Hujjatul Islam Imam al-Ghazali rahimahullah menyebut bahawa Ka`ab al-Ahbar RA menyatakan bahawa haiwan dan mergastua apabila bertemu antara sesama mereka pada hari Jumaat akan mengucapkan "Salam, Salam hari yang baik."

Hari ini juga adalah hari di mana segala amalan kita di mana amalan kita ditunjukkan kepada Baginda Nabi SAW sebagaimana dinyatakan dalam hadits "tu'radhul a'maal" yang masyhur, yang menyatakan:-


Segala amalan dibentangkan kepada Allah pada tiap-tiap hari Isnin dan Khamis. Dan dibentangkan kepada para Nabi dan para ibubapa pada hari Jumaat, maka mereka bergembira dengan (melihat) segala kebaikan mereka yang hidup tersebut dan bertambah bercahaya wajah-wajah mereka serta bersinar-sinar. Maka bertaqwalah kamu kepada Allah dan janganlah kamu menyakiti orang-orang mati kamu (yakni dengan melakukan dosa dan maksiat yang menyebabkan kesedihan kepada si mati).

Hari ini juga adalah hari ucapan shalawat kita kepada Junjungan Nabi SAW akan dipersembahkan terus kepada baginda, sebagaimana dinyatakan dalam banyak hadits, antaranya yang diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqi bahawa Junjungan Nabi SAW bersabda: "Perbanyakkanlah bersholawat ke atasku pada setiap hari Jumaat, kerana shalawat umatku dibentangkan / dipersembahkan kepadaku pada setiap hari Jumaat. Maka sesiapa yang banyak bershalawat ke atasku, jadilah mereka orang yang paling hampir kedudukannya denganku."

Marilah kita rebut peluang keemasan ini dengan sebaik-baiknya. Basahkan lidah dengan ucapan shalawat dan salam ke atas Junjungan Nabi SAW. Moga ungkapan shalawat kecintaan tersebut meresap ke hati sanubari kita dan menumbuhkan pohon - pohon mahabbah yang sejati kepada Baginda Nabi SAW. Ingat senantiasa bahawa sesiapa yang kasihkan sesuatu atau seseorang, pasti dia akan banyak menyebut dan mengingatinya. Ingat juga bahawa seseorang itu akan bersama dengan orang yang dikasihinya.

اللهم صل على النبي الهاشمي
سيدنا محمد و على آله و صحبه
و سلم تسليما

Syaikh Suhaimi Ulama Besar Dunia Melayu


Syaikh Suhaimi Ulama Besar Dunia Melayu

Ketika ese tengah mengemas kutub khanah, ese terjumpa sesalinan kertaskerja yang dikarang oleh almarhum Tuan Guru Haji Wan Mohd. Shaghir rahimahullah yang ese perolehi daripada beliau suatu ketika dahulu. Kertas kerja tersebut telah sekian lama ada dalam simpanan ese, namun baru sat tadi sompek den telek. Ianya adalah kertas kerja yang telah dibentangkan oleh almarhum pada 29 Mei 2005 / 20 Rabi`ul Akhir 1426 sempena memperingati 100 tahun kewafatan Syeikh Ahmad al-Fathani rahimahullah. Di bawah tajuk "Sanad Keilmuan Syeikh Ahmad al-Fathani Dengan Ulama` Selangor", beliau menyentuh sedikit mengenai Sayyidisy Syaikh Muhammad as-Suhaimi rahimahullah yang ingin ese kongsikan di sini. Mudah-mudahan ada faedahnya, lebih-lebih lagi setelah nama ulama ini sedikit sebanyak telah tercalar akibat perbuatan tidak bertanggungjawab pihak - pihak tertentu seperti Jemaah al-Arqam yang telah diharamkan. Pada halaman 18 - 21, almarhum Ustaz Wan Mohd Shaghir menulis sebagai berikut:-

SYEIKH MUHAMMAD AS-SUHAIMI
Nama sebenar ialah Syeikh Muhammad bin `Abdullah al-Wanasabaniyi (Wonosobo). Nama yang sangat dikenali ialah Syeikh Muhammad Suhaimi atau Syeikh Suhaimi saja. Nama lengkap ulama keturunan Nabi Muhammad SAW ini tidak perlu saya bicarakan lagi kerana telah lengkap disebut dalam buku "Manakib asy-Syeikh as-Sayyid Muhammad bin Abdullah as-Suhaimi" yang ditulis oleh anak beliau Syeikh Muhammad Fadhlullah Suhaimi. Syeikh Muhammad Suhaimi dilahirkan di Kota Sudagaran, Wonosobo, Jawa Tengah, 1259H / 1843M, wafat di Kampung Teluk Pulai, Klang, Selangor, 21 Rejab 1343H / 15 Januari 1925M. Mendapat pendidikan awal di Pondok Pesantren Termas, Pacitan, Banyumas, Jawa Tengah. Pondok Pesantren Termas memang telah melahirkan ulama yang sangat terkenal, di antara mereka yang sangat menonjol ialah Syeikh Muhammad Mahfuz at-Tarmasi, ulama besar dalam Mazhab Syafi`ie yang telah membahas ilmu hadits yang cukup mendalam. Ayah beliau ini bernama Kiyahi Haji `Abdullah bin `Abdul Mannan at-Tarmasi juga seorang ulama besar. Memperhatikan tahun kelahiran Syeikh Muhammad Suhaimi (1259H / 1843M) dan kewafatan Kiyahi Haji `Abdullah bin `Abdul Mannan Termas (wafat di Makkah, 1314H / 1896M) kedua-dua ulama yang tersebut seangkatan. Dipercayai kedua-dua mereka telah belajar kepada seorang ulama besar, yang dipercayai pengasas Pondok Pesantren Termas. Beliau ialah Kiyahi Haji `Abdul Mannan bin `Abdullah bin Ahmad Termas (wafat Syawal 1282H / 1865M).

Walau pun Syeikh Muhammad Suhaimi yang lahir tahun 1259H / 1843M, yang bererti beliau lebih tua dari Syeikh Ahmad al-Fathani yang lahir tahun 1272H / 1856M, namun kedua-duanya belajar kepada ulama-ulama di Makkah yang masyhur pada zaman itu. Ulama-ulama itu ialah Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan (Mufti Makkah), Saiyid Abu Bakar Bakri Syatha, Syeikh Nawawi al-Bantani, Saiyid `Abdullah az-Zawawi dan lain-lain. Syeikh Ahmad al-Fathani belajar kepada ulama - ulama bangsa Arab tersebut ketika masih dalam usia belasan hingga dua puluhan tahun, sebelum beliau pergi ke Mesir. Beliau ke Mesir sekitar tahun 1292H / 1875M dan pulang ke Makkah sekitar tahun 1300H / 1882M. Oleh sebab Syeikh Muhammad Suhaimi berada di Makkah juga sekitar tahun 1300H / 1882M, maka dapat diambil kesimpulan tentu ada hubungan antara kedua-dua ulama itu. Pada tahun 1300H / 1882M itu pula Syeikh Ahmad al-Fathani telah aktif mengajar di Masjid al-Haram dan pelbagai aktiviti lainnya.

Mengenai Syeikh Muhammad Suhaimi saya masukkan ke dalam kertas kerja ini hanyalah sebagai pengenalan ringkas saja kerana beliau juga telah berjasa dalam penyebaran Islam di dalam kerajaan Selangor terutama di Klang. Sebenarnya peranan beliau jauh lebih luas daripada itu, kerana namanya juga termasyhur di Singapura, Jawa dan Bangkok dalam lingkungan orang - orang Jawa di sana. Rasanya saya tidak perlu mengungkapkan kisah-kisah "keramat" (karamah) yang telah digambarkan dalam manaqib beliau, tetapi di sini saya lebih mengemukakan yang lebih bercorak fakta yang tidak dapat ditolak. Dengan memperkenalkan beberapa buah karangan beliau yang sangat tinggi nilai keilmuan Islam yang terkandung di dalamnya bererti mengembalikan nama Syeikh Muhammad Suhaimi sebagai seorang ulama besar dunia Melayu yang pernah dinodai namanya oleh pihak-pihak tertentu yang buta sejarah dan tidak bertanggungjawab. Karangan-karangan Syeikh Muhammad Suhaimi semuanya ditulis dalam bahasa Arab, senarainya adalah sebagai berikut:-
  1. الفتوحة  الإلهية في بيان كيفية الطريقة الغزالية , diselesaikan Zohor, hari Rabu, tahun 1312H. Kandungan membicarakan Thariqat al-Ghazaliyah, iaitu thariqat yang dibangsakan kepada Imam al-Ghazali. Pada muqaddimah penulis menyebut bahawa beliau adalah murid Syeikh Nawawi (al-Bantani) pada bahagian akhir yang mengajar thariqat ini ialah Syeikh Muhammad Ismail bin Muhammad Salim. Semua perbicaraan dilengkapi dengan hadits. Cetakan kedua, tanpa nama percetakan, tanpa tarikh, dicetak di Singapura.
  2. المعدن الأسرار جليلة الإعتبار , diselesaikan di Singapura, pada waktu `Ashar, hari Isnin, 20 Rejab tahun 1312H. Kandungan pada muqaddimah penulis menyebut nama lengkapnya, dan dinyatakan negeri asalnya Wonosobo. Keseluruhan kandungan terdiri dari tujuh belas Bab dan satu Khatimah. Bab Yang Pertama Mengenai Fadhilat al-Quran. Bab Yang Kedua Mengenai Orang Yang Meringan-ringankan al-Quran. Bab Yang Ketiga Fadhilat لقد جآءكم (Dua Ayat Akhir Surah at-Taubah). Bab Yang Keempat Fadhilat Doa Nabi Yunus. Bab Yang Kelima Fadhilat Ayat al-Kursi. Bab Yang Keenam Fadhilat Surah al-Ikhlas. Bab Yang Ketujuh Tentang Membenci Shahabat Nabi SAW. Bab Yang Kedelapan Tentang Sayyidina Abu Bakar Shiddiq RA. Bab Yang Kesembilan Tentang Sayyidina `Umar RA. Bab Yang Kesepuluh Tentang Kelebihan Shahabat. Bab Yang Kesebelas Tentang Sayyidina `Utsman RA. Bab Yang Kedua belas Tentang Kelebihan Tiga Khulafa` ar-Rasyidin. Bab Yang Ketigabelas Tentang Sayyidina `Ali RA. Bab Yang Keempatbelas Tentang Sepuluh Shahabat Yang Masuk Syurga. Bab Yang Kelimabelas Tentang Imam Mahdi. Bab Yang Keenambelas Tentang Tanda - Tanda Keluar Imam Mahdi. Bab Yang Ketujuhbelas Tentang Keluar Masih ad-Dajjal. Khatimah Tentang Hikayat Iblis Bertemu Rasulullah SAW. Semua perbicaraan adalah berdasarkan hadits. Cetakan kedua, tanpa nama percetakan, tanpa tarikh, dicetak di Singapura.
  3. رسالة القدسية في معرفة صفات الله بدلائل القرانية , diselesaikan Zohor, hari Ahad, 28 Jumadits Tsani 1317H. Kandungan membicarakan `aqidah. Dicetak di atas batu cetak Haji Muhammad Amin, Singapura, Kampung Melayu, pada bulan Rabi`ul Akhir 1319H.
  4. كتاب الدلالة في تحرير ادلة القبلة و الأهلة , diselesaikan di Singapura, hari Sabtu, 20 Rabi`ul Awwal 1319H. Kandungan membicarakan ilmu falak dan hisab. Dicetak di atas batu cetak Haji Muhammad Amin, Singapura, Kampung Melayu, pada bulan Rabi`ul Akhir 1319H.
Inilah sekelumit yang telah ditulis oleh almarhum TG Haji Wan Shaghir. Selain karya-karya tersebut, Syaikh Suhaimi juga mempunyai karya mengenai kisah mi'raj Junjungan Nabi SAW berjodol "Nafahatul `Anbariyyah fi Qissati Mi'raji Khairil Bariyyah `alaihi afdhalus shalaah wa azkat tahiyyah" dan sebuah kitab mengenai kelebihan membaca mawlid Junjungan Nabi SAW dengan jodol "an-Nafahatul Miskiyyah fi fadhilati qiraati mawlidi Khairil Bariyyah `alaihi afdhalus shalaah wa azkat tahiyyah". Menurut keterangan ahli keluarga beliau, ada lagi kitab - kitab karangan beliau yang masih dalam bentuk manuskrip belum bercetak. Ternyata bahawa Kiyai Agung Muhammad bin `Abdullah as-Suhaimi adalah seorang ulama besar yang mempunyai jasa dalam penyebaran dakwah dan ilmu Islam di rantau kita...... al-Fatihah

Fatwa Merokok - Tokku Melaka & Tuan Minal


Fatwa Merokok - Tokku Melaka & Tuan Minal

Tokku Melaka atau nama sebenarnya Sayyid Ahmad bin Sayyid Muhammad @ Tokku Tuan Padang bin Sayyid Husain bin Sayyid Mustafa al-`Aidrus asy-Syafi`i rahimahumullah adalah seorang ulama yang terkenal di Trengganu. Beliau juga dikenali sebagai Tuan Sayyid Embun Trengganu dan merupakan bapa mertua kepada seorang lagi ulama Trengganu yang terkenal iaitu Tuan Sayyid Abdur Rahman al-`Aidrus rahimahullah atau lebih dikenali dengan gelar Tokku Paloh. Tokku Melaka terkenal sebagai ulama yang rajin berdakwah dan menuntut ilmu sehingga beliau mengembara sehingga ke Melaka untuk tujuan tersebut. Dari situlah muncul gelaran Tokku Melaka kepada beliau. Dalam arena penulisan, beliau turut meninggalkan beberapa karya yang berbobot, antaranya:-
  1. الفوائد في الصلاة و عوائد
  2. هداية العوام في بيان حكم شرب الدخان
  3. تغريب الرجال في كسب الحلال
  4. تعريف الخلان في تجويد القرآن
  5. هداية الإخوان في اذكار الصلاة مع اركان
  6. ترغيب العبادة في قرائة راتب الحداد
  7. Kumpulan Wirid & Doa
  8. Terjemahan Muqaddimah & Doa Dalailul Khairat.
Tokku Melaka adalah antara ulama yang mendokong pengharaman merokok. Bahkan beliau memiliki karangan bagi menjelaskan pegangan beliau tersebut yang diberi jodol "Hidayatul `Awaam fi bayani hukm syurbid dukhaan".Dalam kitab tersebut beliau menyebut beberapa nama beberapa ulama yang mengharamkan merokok antaranya Syaikh Shalih al-Bulqini, Syaikh Ahmad al-Qalyubi, Syaikh Ibnu `Illan ash-Shiddiqi al-Makki, Habib Abu Bakar bin Salim, Habib `Umar bin `Abdul Rahman al-`Atthas, Habib `Abdullah bin `Alawi al-Haddad, Habib Ahmad bin Zain al-Habsyi dan lain-lainrahimahumullahu jami`an. Beliau menulis, antara lain:- 
".... Telah menjazamkan dengan haram tembakau itu oleh beberapa ulama yang muhaqqiqun yang ikutan bagi sekalian kita, daripada ulama yang dalam negeri Makkah dan dalam negeri Yaman dan negeri Syam dan lain daripadanya. .......... Ada pun segala ulama daripada segala tuan - tuan Sayyid yang anak cucu Rasulullah SAW yang berkata mereka itu dengan haram minum (yakni menghisap)asap tembakau itu, maka mereka itu pun banyak juga. ..........Ketahui olehmu akan bahawa sesungguhnya adalah minum arak, dan afyun (opium/candu) dan asap tembakau (yakni merokok) itu setengah daripada segala jalan kafir dan segala mereka itu yang sesat dan yang fasiq dan yang tiada malu dan tiada maruah. Maka janganlah engkau menyerupai dengan mereka itu."
Tdak semua ulama bersetuju dengan pegangan beliau yang dianggap terlalu keras terhadap perokok ketika itu. Syaikh Zainal `Abidin bin Muhammad al-Fathani yang terkenal dengan gelaran Tuan Minal al-Fathani rahimahullah, ulama Fathani pengarang kitab "`Aqidatun Najin" yang hidup sezaman dengan Tokku Melaka, telah mengarang sebuah karya yang berjodol "Tabassumusy Syaaribin" sebagai reaksi terhadap karya Tokku Melaka tersebut. Namun ini tidak bererti yang Tuan Minal al-Fathani menolak apa yang dinyatakan oleh Tokku Melaka secara total. Beliau bukannya tidak menyetujui hukum keharaman merokok tetapi keharaman tersebut menurut beliau tidaklah bersifat mutlak kerana ianya bergantung kepada kemudaratannya. Menurut Tuan Minal, merokok adalah haram jika ianya memberi mudarat dan hanya makruh jika ianya tidak memudaratkan. Beliau dalam kitabnya tersebut menyatakan, antara lain:-
 " ...Aku tilikkan akan karangan Tuan Sayyid Ahmad bin Muhammad bin Husain al-`Aidrus dengan bangsa (yakni bahasa) Jawi, elok susunannya, yang tersebut di dalamnya itu beberapa yang haram atas manusia memakan akan dia dan setengah daripadanya tembakau muthlaqan yakni sama ada mabuk atau orang yang tiada mabuk ..... Bahawa memakan tembakau (yakni merokok) itu makruh bagi orang yang tiada mudarat atasnya memakan dia dan jika memberi mudarat maka iaitu haram."

Jadi yang tidak dipersetujui oleh Tuan Minal adalah mengharamkan tembakau secara mutlak seolah-olah ianya adalah sesuatu yang haram pada zat, sedangkan haramnya merokok itu adalah bergantung kepada kemudaratannya yang merupakan sesuatu yang `aridh (mendatang) dan bukannya kerana zat tembakau atau rokok itu sendiri. Di sinilah letak perbezaan antara dua ulama besar ini. Oleh itu, janganlah ada antara kita hendak berhujjah dengan berpandukan kepada kitab "Tabassum asy-Syaaribin" tersebut dengan alasan Tuan Minal tidak mengharamkan merokok, sedangkan beliau juga mengharamkan merokok jika ianya memudaratkan. Jika sahaja Tuan Minal hidup pada zaman ini, setelah nyata segala bukti dan fakta mengenai kemudaratan yang terhasil daripada merokok yang bukan sahaja kena kepada si perokok tetapi juga kepada pihak lain, mungkin beliau akan menulis pula kitab lain dengan jodol seumpama "Buka-usy Syaaribin. Moga-moga Allah merahmati Tokku Melaka dan Tuan Minal al-Fathani, juga sekalian ulama Nusantara dan sekalian ulama dan umat Junjungan Nabi SAW.

Faedah Dari Sa`adatud Darain


Faedah Dari Sa`adatud Darain


Doa di atas ini dengan sedikit perbezaan pada shighahnya telah lama diamalkan masyarakat kita, baik orang awam maupun para ulama kita. Amalan ini bukanlah perkara yang dibuat-buat oleh ulama Jawi kita sahaja, menurut keterangan al-`Alim al-`Allaamah al-Qadhi asy-Syaikh Yusuf bin Ismail an-Nabhani rahimahullahdalam karyanya "Sa`aadatud Daarain" halaman 627 amalan doa di atas adalah antara faedah yang mujarrab untuk mencegah wabak sebagaimana dinukilkan oleh Syaikh Ahmad Syatha al-Makki rahimahullah daripada beberapa ulama yang kepercayaan (tsiqah) antaranya daripada ayahandanya sendiri iaitu Syaikh Sidi Abu Bakar Syatha ad-Dimyathi rahimahullah, pengarang "I`aanatuth Thalibin" yang masyhur, dan daripada Mufti Syafi`i Makkah ketika itu, al-Habib Husain al-Habsyirahimahullah.

Ikhwah dan sekalian ahli negeri-negeri rantau Nusantara ini seharusnya mengetahui dan bersyukur bahawa amalan - amalan yang dahulunya dominan diamalkan di Hejaz dan tanah-tanah suci telah diwarisi oleh kita di rantau ini, walaupun amalan-amalan tersebut telah dipinggirkan di tempat - tempat tersebut akibat penjajahan puak Wahhabi dari padang pasir Nejd. Antara amalan yang masih menjadi amalan umat kita di rantau ini adalah wirid-wirid selepas sholat berdasarkan kepada amalan Junjungan Nabi SAW sebagaimana diamalkan di kota suci Madinah yang terkenal sebagai "al-Awrad al-Madaniyyah al-Qusyasyiah". Maka hendaklah kita menjaga warisan ini dengan sungguh-sungguh, terlebih lagi waktu kita ini telah ada talibarut puak Wahhabi ini yang cuba membid`ahkan dan menyesatkan amalan - amalan ini. Sempena hari yang mulia ini, marilah kita bertekad untuk menjaga dan mengamalkan amalan-amalan ini dan marilah kita sama-sama membakulsampahkan pendapat dan pandangan puak Wahabi @ Kaum Muda(h) @ Salafi yang salah pi.