08 Ogos 2011

Majlis Fatwa gesa siasat isu gereja


Majlis Fatwa gesa siasat isu gereja
2011/08/08
KUALA LUMPUR: Majlis Fatwa Kebangsaan mahu pihak berkuasa menyiasat segera motif sebenar umat Islam dijemput menghadiri majlis makan malam di sebuah gereja di Petaling Jaya, baru-baru ini.
Pengerusinya, Prof Tan Sri Dr Abd Shukor Hussin yang kesal dengan kejadian itu turut mempersoalkan kenapa majlis itu diadakan ketika umat Islam menjalani ibadat puasa.
“Jika ia bertujuan untuk mempengaruhi individu supaya menukar agama, perkara itu jelas bertentangan dengan Perlembagaan negara.
“Jika ia sekadar program makan malam, ia tidak sesuai kerana itu adalah waktu berbuka puasa dan diadakan di gereja. Jadi kita kena tengok apa motif sebenar,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Baru-baru ini, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyerbu Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) di Petaling Jaya kerana mengadakan majlis yang turut dihadiri umat Islam.
Majlis itu dianjurkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang disyaki berselindung di sebalik kegiatan kebajikan dengan menawarkan wang tunai, tempat tinggal dan makan percuma kepada golongan miskin atau menghadapi masalah kewangan sebelum memesongkan akidah mereka.
Sebahagian besar sasaran adalah golongan gelandangan dan ibu tunggal yang tidak berpendapatan tetap serta dibebani masalah kewangan. Pendedahan itu dibuat beberapa individu yang pernah menyertai program sama dan seorang daripadanya ditahan dalam serbuan itu.
Sambil membidas NGO terbabit kerana tidak menghormati sensitiviti Islam terutama di bulan mulia ini, Abd Shukor meminta semua pihak supaya mengelak melakukan perkara sensitif termasuk menjemput orang Islam menghadiri majlis di gereja kerana ia jelas menimbulkan pelbagai tanggapan.
Abd Shukor juga menegaskan, JAIS tidak boleh dipersalahkan kerana jabatan itu hanya menjalankan tugas.
Beliau meminta pihak yang menghentam JAIS supaya tidak mengelirukan rakyat mengenai tugas serta peranan jabatan berkenaan.
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/MajlisFatwagesasiasatisugereja/Article/index

Tiada ulasan:

Catat Ulasan