28 Mac 2011

Kenyataan Media Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA): Mempertahankan Kedaulatan Islam di Malaysia dalam Menangani Isu Bible Bahasa Melayu

Kenyataan Media Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA): Mempertahankan Kedaulatan Islam di Malaysia dalam Menangani Isu Bible Bahasa Melayu

Kenyataan Media Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA)
Mempertahankan Kedaulatan Islam di Malaysia dalam Menangani Isu Bible Bahasa Melayu
Kenyataan ini dibuat memandangkan sikap kumpulan-kumpulan Kristian akhir-akhir ini yang terlalu provokatif dan melampau-lampau dalam menangani isu Bible Bahasa Melayu. Sikap dan cara ini yang tercermin dalam tindakan membuat laporan polis secara berkumpulan serta pelbagai kenyataan-kenyataan kasar yang amat menghiris hati umat Islam di negara ini. Keadaan ini jika dibiarkan akan membawa kepada salah satu daripada dua kemungkinan yang buruk; sama ada, pertamanya, tekanan dan provokasi berterusan ini akan menyebabkan para pemimpin politik negara akan merasa lemah dan mengalah lalu memberi apa sahaja yang diminta oleh kumpulan ekstrimis ini tanpa mengira kedudukan dan kedaulatan Islam di dalam perlembagaan, sejarah dan budaya negara atau yang kedua, provokasi dan pelanggaran berterusan terhadap perasaan dan sensitiviti umat Islam ini akan mencetuskan ketegangan dan mengundang reaksi daripada kelompok Islam yang mungkin sukar dikawal dan dibendung oleh sesiapa.
Atas kesedaran ini, kami pimpinan-pimpinan pertubuhan-pertubuhan Islam utama dan arus perdana negara ini telah bersatu di bawah Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) yang  berperanan sebagai platform penting dalam menyelaraskan suara umat Islam demi mengelakkan senario-senario buruk seperti yang dihimbau di atas.
PEMBELA menegaskan bahawa umat Islam di negara ini adalah umat berdaulat. Islam di Malaysia bukannya anak yatim piatu ataupun anak tiri yang tiada penjaga dan pelindung. Di samping perlindungan hakiki daripada Allah Rabbul Jalil, Islam di Malaysia sejak sekian lama dan sebelum Merdeka lagi telah menempati  kedudukan yang istimewa dan dilindungi oleh perlembagaan, undang-undang, Raja-Raja Melayu, para pemerintah dan umatnya. Ini menjadi salah satu faktor asasi disebalik kestabilan dan kemakmuran negara walaupun berhadapan dengan komposisi kaum dan agama yang begitu rencam dan pelbagai. Walaupun masih terdapat sedikit-sebanyak kelemahan dan kegelinciran, umat Islam di Malaysia masih setia mempertahankan persefahaman ini demi keamanan, kemakmuran dan keadilan untuk semua. Tetapi harus diingat, jika formula ini hendak diganggu-gugat oleh sesiapa atau mahu digadaikan untuk kepentingan sementara mana-mana kumpulan, PEMBELA dan umat Islam tidak akan hanya berdiam diri dan akan berjuang untuk mempertahankan apa yang hak.
Khusus berkenaan dengan isu terkini iaitu sejumlah Bible berbahasa Melayu yang hendak dibawa masuk ke negara kita, PEMBELA menegaskan pandangan dan pendirian berikut :-
1. Kepada Pihak Kumpulan-kumpulan Kristian.
Kami ingin mempersoalkan sampai ketahap manakah mereka hendak memprovokasi dan memanipulasi isu ini? Adakah mereka tidak sedar bahawa tindakan mereka ini amat menghiris perasaan umat Islam?
PEMBELA menuntut agar kumpulan-kumpulan Kristian terbabit kembali menghormati persefahaman yang ada di kalangan penganut-penganut agama yang berdasarkan Perlembagaan negara, peruntukan undang-undang dan pelbagai keputusan-keputusan rasmi. Ini termasuklah Artikel 3(1),  11(4) dan enakmen-enakmennya, Keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan dalam isu kalimah Allah, larangan Mahkamah terhadap penggunaan kalimah Allah selagi rayuan belum diputuskan, dan Keputusan Kabinet 1986 tentang import masuk Bible berbahasa Melayu.
PEMBELA berpendapat bahawa kumpulan 35,000 Bible tersebut tidak patut dibenarkan untuk edaran kerana bercanggah dengan peruntukan-peruntukan di atas. Keputusan awal kerajaan sudah merupakan suatu kompromi yang sebenarnya sudah melampaui peruntukan-peruntukan ini. Oleh itu sikap keras dan degil pihak Kristian terhadap keputusan awal kerajaan ini adalah sangat-sangat mendukacitakan. Apatah lagi jika diambil-kira kitab Al-Quran sendiri dikawal cetakan dan sebarannya oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN). Ini adalah prosedur biasa dan menuduhnya sebagai suatu kesalahan besar yang mencemar kesucian Bible adalah suatu tuduhan yang liar dan tidak bertanggungjawab.
PEMBELA juga menyeru agar kumpulan-kumpulan Kristian menghentikan pendekatan konfrontasi dan sebaliknya menggunakan saluran perbincangan yang ada seperti Jawatankuasa Kerja Mempromosi Persefahaman Keharmonian Antara Penganut Agama (JKMPKAPA) yang ditubuhkan oleh kerajaan dan turut  disertai oleh kami. Kami menegaskan, jikalau mereka berterusan hendak mengambil pendekatan konfrontasi dan garis keras, kami mungkin mengambil keputusan untuk menarik diri daripada jawatankuasa  tersebut.
PEMBELA juga menuntut suatu permohonan maaf kepada umat Islam di atas pelbagai kenyataan dan tindakan yang sebahagiannya telah menggores hati umat Islam sepanjang isu ini.
2. Kepada Para Pemimpin Politik.
PEMBELA menegaskan kepada semua pemimpin politik tanpa mengira parti agar jangan sekali-kali menggadaikan kedaulatan Islam kerana tekanan sokongan politik. Kalaupun tunduk kepada tekanan politik boleh membawa hasil sementara, tetapi dalam jangka panjang ia akan meruntuhkan paksi pembinaan negara-bangsa dan turut merugikan semua pihak.
Kami juga sangat tidak selesa dengan pendekatan membiarkan para pemimpin bukan Islam yang ke hadapan menjadi jurucakap bagi pihak Kerajaan mahupun Pembangkang dalam isu ini. Oleh kerana ianya melibatkan isu Islam, sepatutnya pemimpin beragama Islam lebih terkehadapan dalam menangani isu ini. Pemimpin bukan Islam nampaknya sering berlebih-lebihan dan kurang berhati-hati dalam kenyataan-kenyataan yang dibuat. Sebagai contohnya kami merujuk kepada beberapa kenyataan yang dibuat oleh Dato’ Seri Idris Jala di pihak kerajaan dan terbarunya oleh YB Tony Phua, Ketua Publisiti DAP.
PEMBELA juga menegaskan pengundi majoriti di negara ini adalah umat Islam. Berdasarkan senario mutakhir ini, kami memutuskan untuk menggerakkan kempen kesedaran di kalangan pengundi Islam di negara untuk menolak mana-mana pemimpin yang terlalu berkompromi dengan prinsip kedaulatan Islam di Malaysia. Untuk tujuan itu, kami akan memantau serius setiap kenyataan dan tindakan setiap tokoh politik dalam isu-isu seumpama ini.

Akhirnya, PEMBELA akan mengemukakan satu memorandum khas berkenaan isu ini kepada pihak Yang Di Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja Melayu. Kami amat berharap Duli-duli Tuanku sebagai Ketua Agama Islam di negara ini akan bertindak untuk mengawalnya dari sampai ke tahap yang lebih buruk dan tidak terkawal. PEMBELA juga menyeru kepada semua warganegara Malaysia yang patriotik dan cintakan negara ini agar kembali insaf tentang persepakatan tentang kedudukan Islam di negara ini dan menghentikan segala bentuk provokasi dan manipulasi isu-isu agama di negara kita ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan