28 Oktober 2010

Syarah Khas Al-Habib Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafidz di Radio IKIM

Syarah Khas Al-Habib Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafidz di Radio IKIM

*Catatan bebas pada 24 Oktober 2010
Kepada seluruh kaum Muslimin, di sini ada sedikit kupasan iktibar tentang hukum-hukum ibadah haji. HIkmah yang pertama adalah berasaskan kepada makna kalimah atau lafaz haji yang bererti dari qasdu yang bermaksud niat atau tujuan. Para jemaah perlu memahami erti niat dalam melakukan ibadah haji iaitu dengan melakukan amal ibadah ikhlas kerana Allah Ta’ala. Seseorang itu hendaklah pergi ke Baitullah dengan niat untuk mengagungkan syiar-syiar Allah Ta’ala dengan penuh perasaan ikhlas. Segala sesuatu yang disyariatkan Allah Ta’ala hendaklah ditunaikan dengan memaksudkan tujuan melaksanakannya kerana Allah Ta’ala. Allah Ta’ala berfirman bahawa ingatlah bahawasanya hanya milik Allah Ta’ala agama yang bersih suci dan murni. Junjungan Besar Nabi Muhammad saw bersabda, “Sesungguhnya setiap perbuatan manusia akan dinilai bergantung kepada niat”. Dalam satu sabda baginda saw yang lain, “Barangsiapa berjihad maka ia akan mendapatkan sesuai dengan apa yang diniatkan”. Ketahuilah bahawa seseorang yang berniat dengan niat yang baik dalam perkara-perkara yang dibolehkan dalam syarak maka ia akan beroleh ganjaran pahala. Andai kata seseorang berniat untuk makan, dengan tujuan makan itu adalah untuk menguatkan tubuh badannya bagi melakukan ketaatan kepada Allah Ta’ala maka niatnya untuk makan itu akan beroleh ganjaran pahala. Apatah lagi jika niat itu disertakan dengan adab-adab yang telah diajar oleh Rasulullah saw. Maka setiap adab yang dilakukan itu akan mendapat ganjaran pahala dari Allah Ta’ala. Demikian juga bila kita duduk bersama dengan keluarga dan para sahabat dimana setiap adab yang baik jika disertakan bersama pasti akan diberi ganjaran Allah Ta’ala. Baginda saw bersabda, “Sebaik-baik kamu adalah yang terbaik kepada keluarganya. Aku adalah yang terbaik kepada keluargaku”.
Begitu juga dalam tujuan nafkah dimana apabila kita menjaga diri kita dari meminta kepada orang lain, menghubungkan silaturrahim dan bersedeqah maka setiap segala sesuatu kebaikan yang dikerjakan itu akan beroleh ganjaran Allah Ta’ala. Sabda Nabi saw, “Barangsiapa berada di waktu petang dengan keadaan mencukupi untuk dirinya dan keluarganya maka ia tidur dalam keadaan diampunkan dosanya”. Dalam satu hadith yang lain, Nabi saw bersabda, “Barangsiapa yang berusaha untuk mencari harta untuk kepentingan janda, orang miskin dan anak-anak yatim maka ia berada di jalan berjihad kepada Allah Ta’ala”. Sekali lagi ditekankan disini bahawa hendaklah kita mengambil iktibar dari hikmah haji yang pertama iaitu meluruskan niat mudah-mudahan Allah Ta’ala mengabulkan doa kita dan menerima amal ibadah kita.
Hikmah haji berikutnya ialah dengan melahirkan kecintaan kepada Allah Ta’ala. Jemaah haji perlu mengorbankan harta yang dimiliki yang merupakan sesuatu yang sangat dicintainya. Dengan sebab itu, apabila ia mengorbankan hartanya maka ia termasuk dalam golongan orang-orang yang mencintai Allah Ta’ala. Selain itu, ia juga perlu mengorbankan aktiviti-aktiviti yang lazimnya dilakukannya. Apabila ia mengerjakan haji, maka hatinya tidak lagi pada aktiviti-aktiviti yang kebiasaannya dilakukan sebelum ini sebaliknya menumpukan sepenuh perhatian kepada amal ibadah ketika berada di Tanah Suci. Maka keberadaaanya di Tanah Suci pada waktu itu jelas menunjukkan kecintaannya sebagai hamba kepada Allah Ta’ala. Dalam amal ibadah haji terkandung erti mengingati dan menghayati peristiwa-peristiwa penting dalam Islam. Di tanah Suci, seseorang itu akan melihat kesan sejarah Islam seperti maqam Nabi Ibrahim, tempat Siti Hajar berlari-lari anak mencari air dan sebagainya dimana kesan sejarah ini apabila dihayati sepenuhnya akan menghubungkan kecintaan kita kepada Allah Ta’ala. Oleh kerana itu, wajiblah bagi kaum Mukminin melahirkan niat kecintaan kepada Allah dan Rasul-Nya dengan kecintaan yang sentiasa hidup dalam hatinya serta melebihi dari perkara yang lainnya. Sebagai ganjaran, Allah akan menghidupkan hatinya dengan kecintaan yang tidak berbelah bahagi kepada Allah dan Rasul-Nya.
Dalam ibadah haji, antara pengajaran yang dapat kita ambil ialah tentang bagaimana kita mengorbankan harta yang dicintai ke jalan Allah dan tidak membelanjakan harta tersebut ke jalan yang bercanggah dengan syarak. Ketahuilah bahawa setiap sesuatu yang dibelanjakan itu akan mendapat balasan dari Allah Ta’ala. Jika harta itu dibelanjakan ke jalan Allah maka ia mendapat ganjaran pahala sebaliknya jika ia dibelanjakan ke jalan yang bertentangan iaitu ke jalan yang bercanggah dengan syarak seperti maksiat maka ia akan mendapat dosa. Sabda Nabi saw, Tidak beriman seseorang bagi mereka yang tidur dalam keadaan kenyang sedangkan jirannya berada dalam keadaan lapar sedangkan ia tidak membantunya”. Dalam hadith yang lain, Nabi saw bersabda, “Takutlah kamu kepada Allah walaupun dengan separuh dari sebiji buah kurma”. Diriwayatkan pada satu ketika, baginda saw masuk ke rumah isterinya, Aisyah. Didapatinya Aisyah sedang menangis lalu baginda saw bertanya, “Kenapa kamu menangis?” Jawab Aisyah, “Tadi telah datang seorang wanita bersama dua orang anaknya dan mereka meminta-minta. Sedang aku pada ketika itu hanya mempunyai 3 biji kurma. Lalu aku berikan kurma-kurma itu kepada mereka. Si ibu lalu memberikan dua biji kurma itu kepada kedua-dua orang anaknya setiap satu. Kemudian sampai giliran si ibu untuk memakan sebiji lagi. Apabila si ibu itu hendak memakannya maka kelihatan si anak seperti hendak mendapatkan bahagian ibunya. Ibunya langsung membahagikan kurma yang sebiji itu kepada dua bahagian lalu diberikan kepada kedua orang anaknya. Aku menangis bila mengenangkan sifat ibu yang sangat kasih dan belas kepada anak-anaknya”. Lalu Nabi saw bersabda, “Ketahuilah bahawa Allah Ta’ala akan mengampunkan si ibu tadi kerana sifat belas kasihannya itu”.
Antara lain hikmah haji ialah mendidik jiwa dan membersihkannya dari perkara-perkara maksiat apabila hendak menghadap Allah Ta’ala. Ketahuilah bahawa barangsiapa mengerjakan haji maka hendaklah ia berniat membersihkan diri dari perkara-perkara yang boleh membatalkan ibadah haji. Caranya ialah dengan membersihkan harta dari perkara-perkara haram dan jiwa dari perkara-perkara tercela. Dalam satu hadith ada dinyatakan bahawa barangsiapa yang pergi menunaikan haji dengan tidak melakukan perbuatan kotor (tercela) maka ia akan kembali dari ibadah hajinya seakan-akan ia seperti bayi yang baru keluar dari perut ibunya. Al-Rafats ialah segala sesuatu yang jika dilakukan akan menimbulkan rasa malu bagi seseorang yang bermaruah. Seseorang yang pergi menunaikan ibadah haji perlu membersihkan jiwanya dari al-rafats seperti mana ia membersihkan rumahnya. Ini termasuklah membersihkan diri dengan menjaga lisan, telinga dan matanya agar ia termasuk dalam golongan yang menghayati erti haji yang sebenarnya. Begitu juga dengan kefasikan dan berdebat (jidal) yang sia-sia, hendaklah kita menjauhinya agar amal ibadah kita tidak menjadi sia-sia.
Apabila kita dapat menjaga diri kita zahir dan batin maka ganjarannya ialah haji yang mabrur. Maka sempurnalah hajinya apabila beroleh haji yang mabrur. Antara sebab untuk beroleh haji yang mabrur ialah dengan berbuat baik kepada sesiapa sahaja ketika berada dalam ibadah haji. Maksud berbuat baik disini termasuklah seperti bertutur dengan baik dan memberi makan kepada orang lain. Untuk beroleh haji yang mabrur juga, hati hendaklah diisi dengan keimanan dan hendaklah berazam untuk mengunjungi Rasulullah saw yang telah mengenalkan ibadah haji kepada kita. Tiadalah ganjaran lain melainkan syurga bagi mereka yang beroleh haji yang mabrur.
Dalam kitab al-Azkar karangan Imam Nawawi dan tafsir yang dikarang oleh Ibnu Katsir, pernah dikisahkan bahawa pada satu hari, makam Rasulullah saw dikunjungi oleh orang Arab dari kampung dimana penjaga makam Rasulullah saw pada ketika itu ialah Al-Utbi. Kata orang Arab itu apabila menziarahi makam Rasulullah saw, “Aku mendengar firman Allah dengan maksudnya, Barangsiapa berdosa dan datang kepada Rasulullah saw lalu beristighfar maka dosanya akan diampun”. Orang Arab itu pun memohon ampun dan tidak lama selepas itu ia pun pergi. Tidak lama selepas itu, al-Utbi pun tertidur lalu bermimpi bertemu Rasulullah saw. Dalam mimpinya itu, Rasulullah saw berkata kepadanya, “Bangkitlah dan kejarlah orang Arab tadi dan beritahulah kepadanya bahawa Allah telah mengampunkan dosanya”.
http://ikantongkol09-mengaji.blogspot.com/2010/10/syarah-khas-al-habib-umar-bin-muhammad_26.html

Tiada ulasan:

Catat Ulasan