Tanpa Rasulullah .....
Sebenarnya pada asalnya, bulan Rabi'ul Awwal tiada apa-apa kelebihan berbandingkan bulan-bulan seperti Ramadhan, Syawwal, bulan-bulan haram dan sebagainya. Tetapi kemudian bulan ini menjadi mulia disebabkan Junjungan Nabi SAW. Bulan ini dimuliakan Allah kerana Allah telah memilihnya menjadi saksi bagi kelahiran makhluk Allah teragung di alam nyata ini. Pemilihan Rabi`ul Awwal dan hari Isnin sebagai bulan kelahiran Junjungan Nabi SAW mempunyai berberapa hikmah. Antara hikmah-hikmah tersebut adalah untuk menyatakan bahawa kemuliaan Junjungan Nabi SAW itu mutlak dan tidak terikat atau terkait dengan sesuatu masa atau zaman. Sebaliknya masa dan zaman menjadi mulia disebabkan Junjungan Nabi SAW. Jika baginda SAW dilahirkan dalam bulan Ramadhan atau hari Jumaat, matsalan, nescaya akan berlaku anggapan bahawa baginda menjadi mulia kerana dilahirkan dalam bulan yang mulia atau hari yang mulia, sedangkan kemuliaan baginda adalah mutlak dan tidak bergantung dengan kemuliaan yang lain.
Oleh itu, jika ada yang berkata bahawa bulan Rabi`ul Awwal ini tiada apa-apa kemuliaan, maka pernyataan itu benar dari satu sudut tetapi salah dari sudut bahawa Rabi'ul Awwal itu telah menjadi mulia disebabkan Junjungan Nabi SAW. Maka janganlah pandangan terhenti kepada bulan semata-mata tanpa melihat kepada makhluk Allah yang paling mulia SAW. Dan janganlah pula bermudah-mudah menghina orang menyambut kelahiran Junjungan SAW dengan kegembiraan, janganlah diqiaskan kegembiraan menyambut mawlid dengan kegembiraan Abu Lahab atau Abu Jahal. Sesungguhnya itu qiyas ma`al fariq, sebab orang mukmin tidak dapat diqiyaskan dengan orang musyrik. Jika diqiyaskan juga, maka apakah keimanan itu senilai dengan kemusyrikan? Apakah keimanan itu tidak punya nilai? Berhati-hatilah, janganlah dek kerana politik kepartian maka lidah yang tidak bertulang dibiarkan bercakap sesuka hati. Ingat pepatah nenek datuk kita: sebab pulut santan binasa, sebab mulut badan merana.
Berbalik kepada masa menjadi mulia kerana Junjungan Nabi SAW, maka itu adalah antara hikmah yang disenaraikan oleh Imam Ibnul Haj bagi menjawab persoalan kenapa bulan Rabi`ul Awwal dan hari Isnin dipilih menjadi bulan kelahiran Junjungan Nabi SAW. Beliau berkata:-
(Hikmah yang keempat kenapa Allah memilih bulan Rabi`ul Awwal dan hari Isnin sebagai masa kelahiran Junjungan Nabi SAW):- bahawasanya Allah SWT yang Maha Bijaksana berkehendak untuk memuliakan masa di mana kelahiran Junjungan SAW dengan Junjungan Nabi SAW, jikalau baginda dilahirkan pada waktu-waktu yang berkat sebagaimana disebutkan dahulu (seperti bulan Ramadhan atau Lailatul Qadr dan sebagainya), maka akan terjadi keraguan yang seolah-olah Junjungan Nabi SAW menjadi mulia disebabkan waktu - waktu tersebut (yakni seolah-olah kemuliaan Junjungan Nabi SAW berhubung atau berkait dengan waktu-waktu yang mulia tersebut).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan