Mengadakan sambutan-sambutan peringatan Mawlid Junjungan Nabi s.a.w. adalah daripada seutama-utama amalan dan sebesar-besar qurbah, kerana bahawasanya ia adalah luahan atau ungkapan atau ekspresi atas kegembiraan dan kecintaan kepada baginda s.a.w. Cinta mahabbah kepada Junjungan Nabi s.a.w. adalah satu dasar daripada dasar-dasar keimanan.
23 Oktober 2012
Surah adh-Dhuha Ayat 7 - Kanzul Iman
Surah adh-Dhuha Ayat 7 - Kanzul Iman
Jabal Nur adalah sebuah bukit yang terletak kira-kira 3 batu daripada Kota Mekah. Di puncak bukit tersebut ada sebuah gua yang telah dipilih Allah sebagai tempat yang menyaksikan turunnya wahyu yang pertama kepada kekasihNya, Junjungan Nabi SAW. Untuk sampai ke gua yang berkat bernama Hira` itu, Junjungan Nabi SAW terpaksa mendaki lereng bukit yang curam itu setinggi kira-kira 890 kaki. Kenapakah Junjungan mulia saban tahun sebelum menerima wahyu mendaki gua Hira` ? Adakah baginda menaikinya hanya untuk santai-santai, relaks - relaks atau hanya untuk beriadah semata-mata ? Tidak sekali-kali tidak, sungguh menurut pernyataan para ulama, baginda ke sana untuk bertahannuts atau berkhalwah atau menyendiri untuk beribadah kepada Tuhan yang Maha Esa, Allah SWT. Demi kasih, kecintaan, mahabbah dan kerinduan baginda kepada Allah SWT yang amat mendalam, maka baginda SAW sanggup mendaki bukit tersebut untuk menyendiri dengan Tuhannya dalam gua kecil bernama Hira. Ibnu Hisyam dalam karya beliau yang masyhur "as-Sirah an-Nabawiyyah", juzuk 1, halaman 272 menyatakan bahawa menurut orang `Arab, yang dikehendaki dengan kalimah "tahannuts" dan "tahannuf" adalah "al-Hanifiyyah" yakni melakukan ibadah menurut agama al-Hanifiyyah, iaitu agama yang lurus / benar (yakni agama Islam) menurut syariat Nabi Ibrahim `alaihis salam. Oleh itu, Junjungan Nabi SAW sebelum menerima syariat baginda sendiri, syariat yang agung yang menasakhkan segala syariat rasul terdahulu, telah mengenal Allah dan beriman denganNya serta menjalankan ibadah kepadaNya menurut syariat nenda baginda Nabi Ibrahim `alaihis salam. Makanya, wahyu pertama yang diturunkan Allah SWT kepada baginda adalah ketika baginda tenggelam dalam kecintaan dan ibadah yang tulus kepada Allah SWT, amat buruklah sesiapa yang menafsirkan yang wahyu tersebut turun dalam keadaan baginda sesat tidak beriman kepada Allah yang Maha Pencipta. ... Allahu ... Allah.
Tidak dimungkiri bahawa sememangnya ada ulama dan ahli tafsir yang menafsirkan kalimah "dhallan" dalam ayat 7 surah adh-Dhuha tersebut sebagai "kecintaan atau mahabbah untuk makrifat kepada Allah SWT". Antara yang berpendapat sedemikian adalah Ibnu Atha` rahimahullah, ini adalah kerana kalimah "dhallan" itu memiliki beberapa makna yang berbeza. Antara sandaran yang menunjukkan bahawa kalimah "dhallan" membawa makna "al-mahabbah" yakni kasih sayang atau cinta mahabbah adalah ayat 95 surah Yusuf di mana kalimah "dhalalika" diertikan sebagai "kecintaanmu", sebab jika ianya diertikan dengan "kesesatanmu (dalam agama)", ia akan membawa erti bahawa Nabi Ya'qub `alaihis salam adalah seorang yang sesat dan pengertian ini adalah meleset dan jauh daripada kebenaran.
Oleh itu, tidak hairan, jika ada ulama yang menafsirkan ayat ke-7 surah adh-Dhuha tersebut atas pengertian kasih, sayang, cinta, mahabbah yang mendalam kepada Allah. Prof. Shah Faridul Haque rahimahullah (gambar di sebelah) dalam "The Holy Qur'an: An English Translation From Kanzul Iman" yang merupakan terjemahan tafsir "Kanzul Iman" oleh Imam Ahmad Raza Khan Barelwi rahimahullah, menafsir ayat tersebut sebagai bermaksud: "And He found you drown in His love, therefore gave way unto Him." Dalam tafsirnya yang lain, Prof. Shah Faridul Haque memberikan tafsiran yang hampir sama iaitu: "And found you deeply engrossed in His love, so directed you". Dr. Muhammad Tahirul Qadiri pula dalam karya tafsir beliau dalam berbahasa Inggeris berjodol "Irfanul Quran" mentafsir ayat tersebut sebagai: "And He found you engrossed and lost in His love and then made you achieve the coveted objective."
Inilah antara tafsiran yang diberikan oleh para ulama terhadap ayat tersebut. Jelas tafsiran sebegini amat munasabah dan bersesuaian dengan maqam dan kedudukan Junjungan Nabi SAW yang merupakan kekasih Allah dan rasulNya yang teragung sejak azali lagi. Tidakkah telah datang kepada kita hadits Junjungan Nabi SAW yang menyatakan bahawa beliau telah menjadi nabi sedangkan ketika itu Nabi Adam `alaihis salam masih berupa air dan tanah sahaja (yakni masih belum diciptakan). Maka bagaimana boleh terlintas dalam akal dan benak hati sanubari kita yang manusia luar biasa yang kenabiannya sejak azali lagi boleh dianggap sebagai tidak beriman kepada Allah SWT? Jika masih ada yang berpendapat sedemikian, maka pasti telah berlaku kesilapan dalam penafsiran dan pemahamannya. Ingatlah bahawa para nabi itu maksum sejak kecil lagi, yakni terpelihara daripada melakukan dosa kesalahan, maka adakah dosa yang lebih besar daripada kekufuran kepada Allah ? Sungguh yang maksum itu para nabi `alaihimus sholatu was salam dan al-Quran, sedangkan manusia lain hatta ulama dan mufassir serta karya dan tafsiran mereka tidaklah maksum daripada kesalahan dan kesilapan. Maka hendaklah kita junjung kemaksuman para nabi tersebut, lebih-lebih lagi penghulu para rasul, Junjungan Nabi Besar Muhammad SAW.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan