Tuanku Muhriz saksi kerjasama penubuhan Kuliyyah Al-Azhar Malaysia
DR. USAMAH Mohamed Hassan Elabed (kiri) bertukar dokumen perjanjian dengan Syeikh Muhammad Fuad Kamaludin sambil disaksikan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir (tengah), Tunku Ali Redhauddin (dua dari kiri), Tunku Zain Al-Abidin (kanan) dan Mohamad Hasan di Istana Besar Seri Menanti, Negeri Sembilan, semalam.
KUALA PILAH 31 Okt. – Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir hari ini berangkat menyaksikan majlis menandatangani kerjasama penubuhan Kuliyyah Al-Azhar Malaysia di Istana Besar Seri Menanti di sini.
Kerjasama itu adalah antara Yayasan Sofa Negeri Sembilan (Yayasan Sofa) yang dinaungi oleh baginda dengan Universiti Al-Azhar, Mesir.
Pada majlis tersebut, Universiti Al-Azhar diwakili oleh Presidennya, Profesor Dr. Usamah Mohamed Hassan Elabed manakala Yayasan Sofa oleh Pengasas-Penasihatnya, Syeikh Muhammad Fuad Kamaludin.
Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz dan Tunku Zain Al-Abidin Tuanku Muhriz.
Dalam titah baginda, Tuanku Muhriz mahu usahasama dan kerjasama itu diteruskan kerana ia akan membawa manfaat yang besar kepada umat Islam di negeri ini.
Baginda bertitah, manfaat itu diberi melalui tawaran kursus oleh Kuliyyah Al-Azhar, sebuah fakulti khas yang diwujudkan di Universiti As-Sofa yang didirikan di negeri ini.
“Gagasan Universiti Al-Azhar melalui pendidikan perlu diambil semangatnya terutama apa yang diwariskan oleh para ulama dengan memahami dengan tepat ajaran mereka dan dipraktikkan dalam kehidupan seharian,” titah baginda.
Sementara itu, Yang Dipertua Yayasan Sofa, Dr. Yusri Mohamad berkata, kerjasama itu menyaksikan penubuhan secara bersama sebuah fakulti khas untuk pengajian Islam menurut acuan Universiti Al-Azhar, Mesir di negara ini.
“Ini bermakna kuliyyah berkenaan adalah sebahagian daripada Universiti As-Sofa yang ditubuhkan oleh Yayasan Sofa,” katanya.
Menurutnya, pengajian di bawah Kuliyyah Al-Azhar Malaysia akan dimulakan dengan kursus dalam bidang Usuluddin dan Syariah dan mungkin disusuli dengan Pengajian al-Quran dan Bahasa Arab.
“Bagi kursus berkaitan profesional pula, ia akan menjurus kepada bidang pengurusan berteraskan Islam,” ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan