04 Oktober 2011

Nabi manusia pilihan


Nabi manusia pilihan
Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN
DALAM kesempatan ini kita akan membahaskan persoalan tentang hakikat kemanusiaan para nabi. Ini kerana persoalan ini menjadi salah satu sebab tergelincirnya kaki sebahagian daripada kita dalam memahami pokok-pokok pegangan agama.
Kita akan meninjau nas-nas yang jelas menunjukkan bahawa walaupun para nabi a.s adalah manusia tetapi mereka bukanlah manusia biasa yang tiada bezanya langsung dengan manusia biasa seperti kita.
Fahaman yang lebih tepat ialah mereka adalah manusia pilihan Allah yang dikurniakan pelbagai keistimewaan dan kelebihan sesuai dengan kedudukan dan peranan mereka yang begitu mustahak.
Maka adalah salah untuk dikatakan bahawa para nabi adalah manusia biasa ataupun mengatakan golongan itu adalah manusia seperti kita.
Kedua-dua kenyataan itu membawa implikasi meletakkan para nabi pada kedudukan yang lebih rendah daripada martabat mereka yang sebenar.
Sesetengah orang menyangka bahawa para nabi sama dengan manusia yang lain pada semua keadaan dan sifat-sifat mereka. Ini adalah tanggapan yang jelas salah dan kejahilan yang terangan-terangan ditolak oleh dalil-dalil sahih daripada al-Quran dan sunnah.
Meskipun pada hakikat asalnya, kemanusiaan para nabi itu sama sahaja dengan seluruh anak Adam sebagaimana yang dinyatakan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad!), sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu. (al-Kahfi: 110)
Namun, para nabi itu berbeza daripada manusia biasa dalam kebanyakan sifat dan ciri-ciri kejadian mereka.
Jika tidak, apakah keistimewaan mereka berbanding manusia yang lain? Bagaimanakah pula hendak diperlihatkan hikmah dan faedah terpilihnya mereka menjadi nabi daripada manusia biasa yang lain?
Dalam perbahasan ini, kita akan sebutkan beberapa ciri dan sifat istimewa mereka di dunia dan di alam barzakh yang telah ditetapkan bagi mereka berdasarkan nas al-Quran dan sunnah.
Nabi penghulu manusia
Para Nabi adalah manusia pilihan dari kalangan hamba-hamba Allah SWT dan dimuliakan dengan pangkat kenabian. Mereka dianugerahkan dengan hikmah, diberi kekuatan intelektual dan ketajaman fikiran.
Allah memilih mereka untuk menjadi perantara di antara Dia dengan makhluk-Nya. Menyampaikan kepada manusia segala perintah-Nya, memperingatkan mereka tentang kemurkaan-Nya dan balasan azab-Nya.
Para nabi dipertanggungjawabkan membimbing hamba-hamba-Nya kepada perkara-perkara yang membahagiakan mereka di dunia dan akhirat.
Telah terlaksana hikmah Allah memilih para nabi dari kalangan manusia bagi memboleh dan memudahkan umat manusia berkumpul bersama mereka. Mengambil manfaat daripada mereka dan mengikuti tingkahlaku dan akhlak.
Sifat kemanusiaan merupakan kelebihan para nabi. Memang mereka adalah manusia dari jenis manusia juga. Tetapi golongan nabi berbeza daripada manusia lain dengan keistimewaan yang tidak dapat dicapai oleh seorang manusia biasa pun.
Dengan demikian, memerhatikan para nabi hanya dari aspek kemanusiaannya yang biasa semata-mata tanpa adanya aspek-aspek spesifik yang lain adalah pandangan jahiliah yang sesat. Dalam al-Quran, terdapat banyak dalil yang mengisahkan perkara ini.
Di antaranya, perkataan kaum Nabi Nuh tentang nabi mereka, sebagaimana yang dikisahkan dalam al-Quran. Allah SWT berfirman yang bermaksud: Maka berkatalah pemimpin-pemimpin yang kafir daripada kaumnya (Nabi Nuh), “Kita tidak memandangmu (wahai Nuh!) melainkan sebagai seorang manusia seperti kita.” (Hud: 27).
Begitu juga dengan apa yang diperkatakan oleh kaum Nabi Musa dan Harun tentang nabi mereka, sebagaimana yang dikisahkan oleh Allah melalui firman-Nya: Sehingga mereka berkata (dengan angkuhnya), “Patutkah kita beriman kepada dua manusia seperti kita, sedangkan kaum mereka menjadi orang-orang suruhan kita?” (al-Mukminun: 47).
Kaum Thamud juga mengatakan hal yang sama terhadap nabi mereka, Nabi Saleh a.s sebagaimana yang terdapat dalam al-Quran: Engkau hanyalah seorang manusia seperti kita; oleh itu, bawakanlah satu tanda (mukjizat) jika betul engkau daripada orang-orang yang benar. (al-Shu’araa: 154).
Begitu juga dengan apa yang dikatakan oleh kaum Nabi Syuaib (penduduk Madyan), pemilik (penghuni) al-Aikah tentang Nabi mereka, sebagaimana yang dikisahkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran: Mereka menjawab, “Sesungguhnya engkau ini (hai Syuaib!) hanyalah salah seorang daripada golongan yang disihir. Dan engkau hanyalah seorang manusia seperti kita; dan sesungguhnya kita fikir engkau ini daripada orang-orang yang dusta”. (al-Shu’araa: 185-186).
Bahkan juga, apa yang diperkatakan oleh kaum musyrikin terhadap Saidina Muhammad yang memandang baginda hanya manusia biasa seperti yang dikisahkan oleh Allah melalui firman-Nya: Mereka berkata: “Mengapakah Rasul ini memakan makanan dan berjalan-jalan di pasar-pasar?” (al-Furqaan: 7).
Jika dilihat kepada Mukjizat ataupun Irhas iaitu kelebihan-kelebihan luar biasa yang dikurniakan kepada para nabi a.s sama ada selepas atau sebelum dilantik ke tugas tersebut, nescaya kita perlu mengaku bahawa mereka bukanlah manusia biasa bahkan manusia-manusia pilihan yang diberi pelbagai keistimewaan.
Minggu hadapan, kita akan, insya-Allah, melihat secara khusus beberapa kelebihan yang dikurniakan Allah kepada rasul kita, Muhammad.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan