22 Oktober 2011

SIRI KE 2: PADA MENERANGKAN PELBAGAI MAZHAB-MAZHAB AL-MUSYABBIHAH


SIRI KE 2: PADA MENERANGKAN PELBAGAI MAZHAB-MAZHAB AL-MUSYABBIHAH

Alhamdulillah, saya diberi kesempatan oleh Allah SWT untuk menyambung perbahasan siri ini. Kelihatan dengan jelas kenapa ulama-ulama menghukumkan sesat waimma kufur kepada golongan di bawah disebabkan mereka berpegang dengan tasybih secara NYATA dan melampau. Golongan pentasybih dan mujassimah zaman sekarang kebanyakkan ada unsur-unsur menjadikan Allah ‘beranggota’ menyebabkan mereka terkeluar dari golongan ASWJ, namun kegelinciran mereka tidak sampai ke batasan sebagaimana firqah di bawah. Selamat membaca.
Abu al-”izz
Di waktu Subuh, Paris.
SIRI KE 2: PADA MENERANGKAN PELBAGAI MAZHAB-MAZHAB AL-MUSYABBIHAH
Berkata al-Imam Abd al-Qahir bin Tahir al-Baghdadi (wafat 429) Rahimahullah:
Ketahuilah –semoga kamu dibahagiakan Allah- golongan al-musyabbihat (golongan yang men-serupa-kan (menyerupakan) Allah dengan makhluk) terbahagi kepada dua kumpulan:
i. Kumpulan yang men-serupa-kan zat Allah dengan zat selain Allah
ii. Kumpulan yang men-serupa-kan sifat Allah dengan sifat selain Allah
Kumpulan pertamaKumpulan yang men-serupa-kan zat Allah dengan zat selain Allah
Kelahiran golangan al-tasybih terawal daripada golongan golongan sesat yang melampau ialah:
1. Al-sabaiyyah- mereka menggelarkan Ali sebagai tuhan, dan men-serupa-kannya dengan zat tuhan. Ketika mana Ali membakar suatu kaum, mereka berkata kepadanya: sekarang kami tahu bahawa engkau adalah tuhan,kerana api tidak akan membakar sesuatu kaum kecuali dia adalah tuhan.
2. Al-Bayaniah iaitu pengikut Bayan bin Sam’an yang mendakwa sembahannya ialah insan daripada cahaya dalam bentuk manusia pada anggota-anggotanya. Anggota-anggota ini akan fana (musnah) kecuali wajahnya.
3. Al- Mughiriyyah iaitu pengikut al-Mughirah bin Said al-‘Ijli yang mengatakan sembahannya mempunyai anggota dan anggotanya dalam bentuk huruf-huruf al-hija’ (huruf bahasa Arab).
4. Al-Mansuriyyah ialah pengikut Mansur al-‘Ijli yang menyerupakan dirinya dengan tuhannya, dan dia mendakwa telah naik ke langit, dan mendakwa juga yang tuhannya menggunakan tangannya menjamah kepalanya. Dan tuhan berkata kepadanya: “Wahai anakku, sampaikan daripadaku”.
5. Al-Khitabiyyah yang berkeyakinan ketuhanan para Imam dan dan ketuhanan Abi al-Khttab al-Asadi.
6. Kumpulan yang berpegang dengan ketuhanan Abdullah bin Muawiyah bin Abdullah bin Jaafar.
7. Al-Hululiyyah yang berpegang hulul (bersatu) Allah pada diri para Imam dan menyembah para Imam atas tujuan atau pegangan tersebut.
8. Al-Huliyyah al-Hilmaniyyah yang disandarkan kepada pengasasnya iaitu Abu Hilman al-Dimasyqi yang mendakwa bahawa tuhan bersatu dengan semua bentuk yang cantik, dan dia sujud kepada semua yang cantik.
9. Al-Muqanna’iyyah al-mubidhah di belakang Sungai Jaihun dan dakwaan mereka bahawa al-Muqanna’ ialah tuhan, dan ia berbentuk pada setiap zaman dengan bentuk tertentu.
10. Al-‘Azafirah yang berkata dengan ketuhanan Ibn Abi al-‘Azafir yang dibunuh di Baghdad.
Kumpulan-kumpulan ini yang kami sebut pada fasal ini, semuanya terkeluar dari Agama Islam walaupun mereka ini dinisbahkan kepada Islam secara zahir.
Akan bersambung…. Insya Allah
Abu al-‘Izz
Menjelang Subuh, Paris.

DISKUSI TAREKAT TASAWUF NEGERI SEMBILAN


DISKUSI TAREKAT TASAWUF NEGERI SEMBILAN

DISKUSI TAREKAT TASAWUF NEGERI SEMBILAN
PENGENALAN
Diskusi ini adalah kesinambungan daripada seminar tarekat yang pernah diadakan pada tahun 2002, 2003, 2004 dan 2007. Ianya akan diadakan selama 3 hari dan akan mengupas perbahasan yang berkaitan dengan disiplin tarekat tasawuf bagi memantapkan pengamal-pengamal tarekat yang berdaftar di bawah Enakmen Tarekat Tasawuf (Negeri Sembilan) 2005 dan memasyarakat ilmu tasawuf kepada orang ramai.
Tarikh
22-24 November 2011
Tema
Memantapkan Pengetahuan, Memurnikan Amalan.
Anjuran
Jabatan Mufti Kerajaan Negeri & Majlis Agama Islam Negeri Sembilan
Tempat
Klana Resort, Seremban
OBJEKTIF
·         Memantapkan pengamal tarekat berdaftar di Negeri Sembilan dengan ilmu pengetahuan yang selari dengan tuntutan Syarak dan disiplin ilmu Tasawwuf.
·         Merungkai permasalahan yang menjadi perselisihan di kalangan ulama yang berkaitan dengan tarekat  dan tasawwuf.
·         Mengetengahkan buku yang menjadi rujukan tentang tasawuf agar dapat disuburkan dalam pengajian agama Islam di Negeri Sembilan.
·         Mendedahkan perkembangan terkini dakwah dalam tarekat tasawwuf.
SENARAI TAJUK DAN PANEL.
1.    Ucaptama: Golongan Sufi: Kedudukannya dalam Ahli al-Sunnah Wa al-Jamaah.
Oleh: Y.Bhg. Dr. Muhammad Uthman el-Muhammady
2.    Tren Semasa Memeluk Islam Dalam Kalangan Masyarakat Eropah dan Amerika Menerusi Tarekat Tasawuf
Panel: Dr. Muhammad Yusuf bin Khalid (USIM)
3.    Kedudukan Karamah Dalam Islam Khususnya Dari Perspektif Ilmu Tasawwuf
Panel: Dr. Jahid bin Sidek
4.    Silsilah.
Panel: Dr. Abdul Manam bin Mohamad (UnisZA)
5.    Zikir Jahar dan Zikir Khafi: Isu dan Pelaksanaannya Dalam Amalan Tarekat.
Panel: Prof. Madya Dr. Faudzinaim Hj. Badarudin (UKM)
6.    Syarah Hikam Pengaruhnya Kepada Masyarakat Islam di Malaysia
Panel: Dr. Sulaiman bin Ibrahim al-Baruhi (UNISSA, Brunei)
7.    Kedudukan dan Peranan Tasawuf Dalam Pembinaan Umat
Panel: Y.Bhg. Dr. Zulkifli bin Mohamed Al Bakri
PENYERTAAN
Diskusi ini mensasarkan 300 orang peserta yang terdiri daripada kumpulan tarekat yang berdaftar di Negeri Sembilan dan wakil-wakil tarekat tasawuf di luar Negeri Sembilan, pegawai agensi kerajaan, ahli-ahli akedemik Institusi Pengajian Tinggi, pelajar-pelajar Institusi Pengajian Tinggi, orang perseorangan yang berminat.
 YURAN PENYERTAAN
·         Wakil Agensi                             -           RM100.00
·         Individu                                      -           RM50.00
·         Pelajar/Mahasiswa                  -           RM30.00
(Jemputan khas Jabatan Mufti tidak dikenakan bayaran)
KETERANGAN LANJUT SILA HUBUNGI
Urusetia Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan
Tel: 06-7652423 (P) 013-6254043 (HP) (Ust. Syaiful Nizam bin Md Jan) atau 06-7652432 (P) 012-3418373 (HP) (Ust. Nor Hafiz bin Abu Kassim)
Fax: 06-7652427
sumber:

13 Oktober 2011

Mengapa Tidak Terus Minum Daripada Kendinya?


Mengapa Tidak Terus Minum Daripada Kendinya?
Tertarik dengan satu risalah yang saya terima daripada seorang rakan. Risalah tersebut menceritakan sebuah kisah berkenaan pertemuan seorang pemuda yang mengaku bahawa dia adalah pengikut ajaran Salaf dengan seorang Kiyai @ Tuan Guru di sebuah pesantren di Indonesia.
Apa yang menarik tentang kisah ini ialah bagaimana sikap seorang guru ketika memberi didikan kepada seorang yang datang menempelak dan mencemuhnya. Sabar, setia mendengar setiap yang diluahkan dan pelbagai sikap yang baik yang patut diteladani oleh para pendakwah sekarang daripada Kiyai tersebut. Inilah manhaj sebenar Ahlussunnah Wal Jamaah . Tidak melenting malah memberikan peluang kepada mereka untuk berbicara.
Sikap pemuda yang mengaku mengikut ajaran Salaf ini juga patut diteladani dalam satu aspek iaitu mendengar kembali apa yang diterangkan oleh Kiyai tersebut dan mengakui bahawa dirinya ada melakukan kesalahan. Berbeza dengan sikap pemuda-pemuda sekarang yang mengaku bahawa mereka adalah pengikut ajaran Salaf , yang langsung tidak mahu menerima pandangan orang lain malah menuduh bahawa para ulama sekarang banyak membawa Bid’ah dan sebagainya.
Benarlah kata para ulama :
Di sini saya akan mengolah semula cerita tersebut sebagai panduan kepada kita semua. Kisahnya begini :
Suatu hari, datang seorang pemuda ke sebuah Pesantren di Indonesia bertujuan untuk bertemu dengan Kiyai di Pesantren tersebut. Maka berlakulah dialog di antara pemuda dan Kiyai di ruang tamu rumah Kiyai itu.
Pak Kiyai : Silalah duduk anak muda, siapa namamu dan dari mana asalmu?
Pemuda : Terima kasih Pak Kiyai. Nama saya Abdullah dan saya berasal dari Kampung Seberang.
Pak Kiyai : Jauh kamu bertandang ke sini, sudah tentu kamu punya hajat yang sangat besar. Apa hajatnya mana tahu mungkin saya boleh menolongmu?
Pemuda tersebut diam sebentar sambil menarik nafasnya dalam-dalam.
Pemuda : Begini Pak Kiyai, saya datang ke sini, bertujuan ingin berbincang beberapa permasalahan dengan Pak Kiyai. Pendeknya, permasalahan umat Islam sekarang. Saya ingin bertanya, mengapa Kiyai-Kiyai di kebanyakan pesantren di Indonesia, dan Tuan-Tuan Guru di Malaysia serta Pattani dan Asia umumnya sering kali mengajar murid-murid mereka dengan lebih suka mengambil kalam-kalam atau pandangan para ulama? Seringkali saya mendengar mereka akan menyebut : “ Kata al-Imam al-Syafiee, kata al-Imam Ibn Ato’illah al-Sakandari, Kata al-Imam Syaikhul Islam Zakaria al-Ansori dan lain-lain”
Mengapa tidak terus mengambil daripada al-Quran dan al-Sunnah ? Bukankah lebih enak kalau kita mendengar seseorang tersebut menyebutkan “ Firman Allah taala di dalam al-Quran, Sabda Rasulullah sallallahu alaihi wasallam di dalam hadis itu dan ini?”
Ulama-ulama itu juga punya kesalahan dan kekurangan. Maka mereka juga tidak lari daripada melakukan kesilapan. Maka sebaiknya kita mengambil terus daripada kalam al-Ma’sum iaitu al-Quran dan al-Sunnah.
Pak Kiyai mendengar segala hujah yang disampaikan oleh pemuda tersebut dengan penuh perhatian. Sedikitpun beliau tidak mencelah malah memberikan peluang bagi pemuda tersebut berbicara sepuas-puasnya. Sambil senyuman terukir di bibir Pak Kiyai, beliau bertanya kepada pemuda tersebut,
Pak Kiyai : Masih ada lagi apa yang ingin kamu persoalkan wahai Abdullah?
Pemuda : Setakat ini, itu sahaja yang ingin saya sampaikan Pak Kiyai.
Pak Kiyai : Sebelum berbicara lebih lanjut, eloknya kita minum dahulu ya. Tiga perkara yang sepatutnya disegerakan iaitu hidangan kepada tetamu , wanita yang dilamar oleh orang yang baik maka disegerakan perkahwinan mereka dan yang ketiga si mati maka perlu disegerakan urusan pengkebumiannya. Betul kan Abdullah?
Pemuda : Benar sekali Pak Kiyai .
Pak Kiyai lalu memanggil isterinya bagi menyediakan minuman pada mereka berdua. Maka beberapa detik selepas itu minuman pun sampai di hadapan mereka.
Pak Kiyai : Silakan minum Abdullah.
Sebaik dipelawa oleh Pak Kiyai, maka Abdullah pun terus mengambil bekas air tersebut lalu menuangkan perlahan-lahan ke dalam cawan yang tersedia.
Pak Kiyai terus bertanya : Abdullah, kenapa kamu tidak terus minum daripada bekasnya sahaja? Kenapa perlu dituang di dalam cawan?
Pemuda : Pak Kiyai, mana bisa saya minum terus daripada bekasnya. Bekasnya besar sekali. Maka saya tuang ke dalam cawan agar memudahkan saya meminumnya.
Pak Kiyai : Abdullah, itulah jawapan terhadap apa yang kamu persoalkan sebentar tadi. Mengapa kami tidak mengambil terus daripada al-Quran dan al-Sunnah? Ianya terlalu besar untuk kami terus minum daripadanya. Maka kami mengambil daripada apa yang telah dituang di dalam cawan para ulama. Maka ini memudahkan bagi kami untuk mengambil dan memanfaatkannya.
Benar kamu katakan bahawa mengapa tidak terus mengambil daripada al-Quran dan al-Sunnah. Cuma persoalan kembali ingin saya lontarkan kepada kamu. Adakah kamu ingin mengatakan bahawa al-Imam al-Syafie dan para ulama yang kamu sebutkan tadi mengambil hukum selain daripada al-Quran dan al-sunnah? Adakah mereka mengambil daripada kitab Talmud atau Bible?
Pemuda : Sudah tentu mereka juga mengambil daripada al-Quran dan al-Sunnah.
Pak Kiyai : Kalau begitu, maka sumber pengambilan kita juga adalah daripada al-Quran dan al-Sunnah cuma dengan kefahaman daripada para ulama.
Pak Kiyai : Satu lagi gambaran yang ingin saya terangkan kepada kamu. Saya dan kamu membaca al-Quran, al-Imam al-Syafie juga membaca al-Quran bukan?
Pemuda : Sudah tentu Pak Kiyai.
Pak Kiyai : Baik, Kalau kita membaca sudah tentu kita ada memahami ayat-ayat di dalam al-Quran tersebut bukan? Al-Imam al-Syafie juga memahami ayat yang kita bacakan. Maka persoalannya , pemahaman siapa yang ingin didahulukan? Pemahaman saya dan kamu atau pemahaman al-Imam al-Syafie terhadap ayat tersebut?
Pemuda : Sudah tentu pemahaman al-Imam al-Syafie kerana beliau lebih memahami bahasa berbanding orang zaman sekarang.
Pak Kiyai : Nah, sekarang saya rasa kamu sudah jelas bukan? Hakikatnya kita semua mengambil daripada sumber yang satu iaitu al-Quran dan al-Sunnah. Tiada seorang pun yang mengambil selain daripada keduanya. Cuma bezanya, kita mengambil daripada pemahaman terhadap al-Quran dan al-Sunnah tersebut daripada siapa? Sudah tentu kita akan mengambil daripada orang yang lebih dalam ilmu dan penaakulannya. Ini kerana mereka lebih wara’ dan berjaga-jaga ketika mengeluarkan ilmu.
Kamu tahu Abdullah, al-Imam al-Syafie radhiyallahu anhu pernah ditanya oleh seseorang ketikamana beliau sedang menaiki keldai , berapakah kaki keldai yang Imam tunggangi?
Maka al-Imam al-Syafie turun daripada keldai tersebut dan mengira kaki keldai tersebut. Selesai mengira kaki keldai berkenaan, barulah al-Imam menjawab : “ Kaki keldai yang aku tunggangi ada empat”. Orang yang bertanya tersebut merasa hairan lalu berkata “ Wahai Imam , bukankah kaki keldai itu sememangnya empat, mengapa engkau tidak terus menjawabnya?” al-Imam al-Syafiee menjawab : “ Aku bimbang, jika aku menjawabnya tanpa melihat terlebih dahulu, tiba-tiba Allah taala hilangkan salah satu daripada kakinya maka aku sudah dikira tidak amanah di dalam memberikan jawapan”
Cuba kamu perhatikan Abdullah, betapa wara’nya al-Imam al-Syafie ketika menjawab persoalan berkaitan dunia. Apatah lagi kalau berkaitan dengan agamanya?
Al-Imam Malik radhiyallahu anhu pernah didatangi oleh seorang pemuda di dalam majlisnya di Madinah al-Munawwarah. Pemuda tersebut mengatakan bahawa dia datang daripada negeri yang jauhnya 6 bulan perjalanan daripada Madinah. Pemuda itu datang untuk bertanyakan satu masalah yang berlaku di tempatnya.
Al-Imam Malik radhiyallahu anhu, mengatakan bahawa “ Maaf, aku tidak pandai untuk menyelesaikannya”
Pemuda tersebut hairan dengan jawapan Imam Malik, dan dia bertanya : “ Bagaimana aku akan menjawab nanti bilamana ditanya oleh penduduk tempatku?”
Maka kata al-Imam Malik : “ Katakan kepada mereka bahawa Malik juga tidak mengetahui bagaimana untuk menyelesaikannya”
Allah.. Cuba kamu lihat Abdullah betapa amanahnya mereka dengan ilmu. Berbeza dengan manusia zaman sekarang yang baru setahun jagung di dalam ilmu sudah mendabik dada mengaku bahawa seolah-olah mereka mengetahui segalanya.
Pemuda : MasyaAllah, terima kasih Pak Kiyai atas penjelasan yang sangat memuaskan. Saya memohon maaf atas kekasaran dan keterlanjuran bicara saya .
Pak Kiyai : Sama-sama Abdullah. Semoga kamu akan menjadi seorang yang akan membawa panji agama kelak dengan ajaran yang benar InsyaAllah.

Ahlul Bid’ah Hasanah – Jawaban Untuk Mereka yang Mempersoalkan Amalan Para Wali


Ahlul Bid’ah Hasanah – Jawaban Untuk Mereka yang Mempersoalkan Amalan Para Wali
Bagi para pencari kebenaran, buku ini hadir sebagai penghapus dahaga mereka. Di dalamnya telah terhimpun berbagai dalil yang mendasari berbagai amalan salaf yang sering dipertanyakan oleh sebagian kecil umat Islam yang terlalu fanatik pada ajarannya. Karenanya buku ini sangat cocok bagi semua orang yang mencintai amalan salaf, amalan para wali dan bagi mereka yang mencari kebenaran sejati.
Buku ini selain memberikan dalil-dalil dari Al-Qur’an dan Hadits, juga banyak memberikan informasi, pandangan serta penjelasan ulama-ulama besar dan terkemuka seputar permasalahan bid’ah dan amalan para wali. Setiap paragraf berisi informasi ilmiah dari berbagai sumber yang dapat dipertanggung jawabkan. Anda bahkan akan menemukan begitu banyak contoh-contoh bid’ah hasanah yang dilakukan oleh para sahabat di zaman Rasulullah saw maupun sepeninggal beliau saw. Buku ini menjadi sangat menarik karena seakan ia membawa kita ke zaman Rasulullah saw dan para sahabat beliau saw.
Buku ini disusun oleh seorang ustad, da’i plus penulis muda yang sangat produktif. Yaitu Al Ustad Al Habib Noval bin Muhammad Alaydrus.

12 Oktober 2011

Jom Ngaji: DAWRAH THAQAFI ‘ILMIYYAH UKM 2011


Jom Ngaji: DAWRAH THAQAFI ‘ILMIYYAH UKM 2011

Dawrah Thaqafi Ilmiyyah
Dawrah Thaqafi Ilmiyyah merupakan sebuah program pecutan bacaan kitab-kitab thurath (kitab-kitab lama) yang kini semakin ditinggalkan. Lima buah kitab dipilih pada peringkat permulaan iaitu matan nil raja’ bisyarah safinah an-naja’ (fiqh syafie) , matan arjumiyyah dan matan bina wa af’al (Nahu dan Sorof), Matan Tuhfah raghibin fi tariq alsalikin (Tassawuf), Mukhtar hadith (sususan Habib Umar), dan Faridah Faraid fi Ilm al-Aqaid (akidah). Majlis ini bermula pada 3 oktober 2011 iaitu pada jam 9.00 malam hingga 10.45 malam. Antara guru yang mengajar ialah Ust Syed Naqjamuddin al-Khered (B.A Al-Azhar (Mesir), Dar Mustafa (Yaman) bekas pensyarah CITU UITM), Ust Azhar Hashim (Dar Mustafa, (Yaman) 10 Tahun mengikuti pengajian pondok di Patani, 5 tahun di malaysia, kini menjadi pengajar kepada rancangan Thurath Ulama TV1 dan Radio IKIM, Ust Shahrolnizam@ahmad al-hadrami (B.A al-Azhar, Dar Mustafa (Yaman), pengarah kepada Dar Muhibbin Sdn Bhd, Panel Penasihat dan Penterjemah Pustaka Islamiyyah, dan Menjadi tenaga Pengajar Bahasa Arab di UM, Ust Sodiq al-Hadrami ( berkebolehan menguasai 6 bahasa iaitu inggeris, cina, arab, parsi, urdu, melayu, memulakan pengajiannya di dalam bidang bahasa di amerika, seterusnya di bangladesh, pakistan, cina dan iran. mendalami ilmu agama secara talaqqi dengan beberapa ulama dari maghribi, yaman, turki, india, pakistan, lubnan dan ramai lagi ) dan Tuan Guru Hj Hafizd Selamat (penasihat Yayasan al-Jenderami, B.A Ekonomi UM, lebih 20 Tahun dalam pengajian pondok, ahli majlis fatwa negeri selangor, merupakan antara tokoh agamawan di Malaysia dan dikenali diseluruh dunia Islam, penasihat yayasan aljenderami). Marilah sama-sama kita mengambil manfaat ilmu secara talaqqi dan musyafahah ini kerana ia merupakan sebuah kaedah ilmu Islam yang sejati dan benar.

06 Oktober 2011

Mujaddid Kurun Ke-11: Al-Imam Al-Habib ‘Abdullah bin ‘Alwi bin Muhammad al-Haddad


Mujaddid Kurun Ke-11: Al-Imam Al-Habib ‘Abdullah bin ‘Alwi bin Muhammad al-Haddad
InsyaAllah, malam ini bermulalah siri sambutan Haul ke-300, al-Imam al-Habib ‘Abdullah bin ‘Alwi bin Muhammad al-Haddad رضي الله عنه
Ketahuilah, menurut sebahagian ulama beliau adalah merupakan seorang Mujaddid Kurun Ke-11. Hal ini disebut oleh Mufti Hadhramaut, al-Habib ‘Abdur Rahman bin Muhammad bin Husain bin ‘Umar al-Masyhur Ba’Alawi dalam Ghaayatu Talkhish al-Muraad min Fatawa Ibni Ziyaad yang menyatakan bahawa Imam a-Haddad رضي الله عنه adalah merupakan mujaddid kurun ke-11H.
Pada halaman 299 (yang dicetak diakhir kitab Bughyatul Mustarsyidin), beliau menyatakan:
[Masalah] Hadits “Bahawasanya Allah akan membangkitkan buat umat ini pada awal setiap 100 tahun orang yang akan memperbaharui (mentajdidkan) agama umat ini (yakni yang akan memperbaharui pegangan dan keyakinan umat terhadap agama mereka),” dikeluarkan hadits ini oleh Imam Abu Dawud dan Imam al-Hakim dan selain kedua mereka. Dan dalam lafaz lain dinyatakan “Pada setiap 100 tahun seorang lelaki daripada ahli baitku,” sebagaimana dinyatakan oleh Imam Ahmad. Berkata Imam as-Sayuthi, hadits ini adalah masyhur dengan diriwayatkan oleh para huffadz yang muktabar. Maka mujaddid bagi:-
Kurun pertama: Sayyidina ‘Umar bin ‘Abdul ‘Aziz;
Kurun ke-2: Imam Muhammad bin Idris asy-Syafi`i;
Kurun ke-3: Ibnu Suraij atau (Imam Abu Hasan) al-Asy’ari;
Kurun ke-4: ash-Sha’luki atau Abu Hamid al-Isfaraini atau Qadhi Abu Bakar al-Baaqilani;
Kurun ke-5: Imam al-Ghazali tanpa ada khilaf;
Kurun ke-6: al-Fakhrur Razi atau ar-Rifaa`i;
Kurun ke-7: Ibnu Daqiiqil ‘Eid;
Kurun ke-8: al-Bulqini dan Zainuddin al-’Iraqi atau Ibnu Bintil Mailaq;
Kurun ke-9: Syaikh Zakaria al-Anshari sebagaimana dinyatakan oleh guru kami ath-Thanbadaawi dan adalah Imam asy-Sayuthi telah menisbahkan tajdid kepada dirinya (yakni menyatakan dirinya sebagai mujaddid), dan tiada syak bahawa Syaikh Zakaria lebih memberi manfaat (buat umat) dan lebih masyhur, maka dialah mujaddid ke-9 ini, insya-Allah;
Kurun ke-10: yang aku jumpa daripada keterangan para masyaikh bahawa mujaddid kurun ini ialah Syaikh Ahmad bin Hajar al-Haitami atau Imam Muhammad ar-Ramli, dan dirajihkan oleh sebahagian ulama bahawa mujaddidnya ialah Imam Muhammad ar-Ramli kerana Imam Ibnu Hajar meninggal sebelum berlalu kurun (yakni Imam Ibnu Hajar meninggal di akhir kurun dan tidak bertemu dengan awal kurun yang baru);
Kurun ke-11: Sayyidinal Quthub ‘Abdullah bin ‘Alawi al-Haddad ‘Alawi;
Kurun ke-12: al-Quthub Ahmad bin ‘Umar bin Sumaith Alawi.
Antara nasihat atau pesanan beliau untuk generasi selepas beliau, adalah supaya berpegang kepada mazhab al-Imam Abu Hasan al-Asy’ari di dalam aqidah. Al-Imam al-Haddad menyebut di dalam himpunan sya’ir beliau yang dikenali sebagai Diwan al-Imam al-Haddad atau ad-Durr al-Mandzum li Dzawi al-’Uquul wa al-Fuhuum:
Jika kau ingin hidup bahagia sepanjang umurmu dan setelah mati, kuburmu dijadikan taman syurga;
Dan engkau dibangkitkan tatkala tiupan sangkakala dalam keadaan aman dari rasa takut, terancam, terusir dan dari kerugian;
Dan dihadapkan (kepada Allah) dalam kemuliaan dan keagungan, diberi khabar gembira oleh para malaikat dengan kejayaan dan ganjaran pahala;
Dan diberatkan timbangan amalanmu dengan amalan-amalan yang menggembirakan engkau di Padang Mahsyar;
Dan engkau melintasi sepantas kilat titian ash-Shirath, serta meneguk minuman dari telaga Nabi al-Mushtofa yang suci;
Dan hidup kekal dalam syurga-syurga yang tinggi penuh keni’matan, mendapat bahagian untuk dekat dengan Tuhan yang Satu, Maha Esa dan Tunggal;
Dan engkau melihatNya dengan matamu dalam keadaan Dia Maha Suci dari bertempat, dari kaifiyyat, dari had dan batasan;
Maka perelokkan keyakinanmu, kerana sesungguhnya apabila keyakinan telah sempurna, yang ghaib akan nampak nyata tanpa diengkari;
Dan jadikanlah Asy’ariyyah sebagai pegangan i’tiqadmu, kerana sesungguhnya ia adalah sumber minuman yang suci bersih dari penyimpangan dan kekufuran;
Dan telah menyusun Quthubul Imam sandaran kita, ‘aqidahnya yang merupakan penawar bagi segala marabahaya;
Dan orang yang kumaksudkan dengannya itu ialah satu-satunya yang disifatkan dengan gelaran Hujjatul Islam (yakni Imam al-Ghazali رحمه الله ), maka sudah sepatutnya engkau berasa bangga.
Jom kita hadiri majis haul beliau yang ke-300. InsyaAllah, akan beroleh pelbagai manfaat zahir dan bathin.
http://al-fanshuri.blogspot.com/

Jauhi 7 Dosa Besar


Jauhi 7 Dosa Besar
Oktober 4, 2011 — sulaiman
Rasulullah s.a.w. bersabda Jauhilah diri kamu daripada tujuh dosa yang boleh membinasakan.Baginda ditanya:”Apakah dosa itu wahai Rasulullah?” Baginda berkata:” Syirik kepada Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah melainkan dengan jalan yang benar, memakan harta anak yatim, memakan riba, lari dari medan pertempuran perang dan menuduh perempuan yang suci melakukan zina.” (Muslim)
Terdapat tujuh dosa besar yang boleh membawa kebinasaan terhadap sesiapa yang melakukannya iaitu:
1. Syirik kepada Allah- iaitu menyamakan atau memperkongsikan Allah dengan sesuatu yang lain seperti berhala, dewa, jin dengan menggangap bahawa sesuatu yang lain juga mempunyai kuasa.
2. Sihir. Mengamalkan atau mempraktikkan ilmu sihir ke atas orang lain.
3. Membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah (orang yang tidak bersalah), melainkan dengan jalan yang benar seperti untuk mempertahankan diri atau menegakkan hukum Allah (menjalankan hukuman qisas iaitu “bunuh balik” dan menjalankan hukuman bunuh ke atas mereka yang murtad setelah diberi peluang bertaubat)
4. Memakan harta anak yatim.
An-Nisaa [10] Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak-anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu hanyalah menelan api ke dalam perut mereka dan mereka pula akan masuk ke dalam api Neraka yang menyala-nyala.
5. Memakan riba.
Ali-Imran [130] Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu makan atau mengambil riba dengan berlipat-lipat ganda dan hendaklah kamu bertakwa kepada Allah supaya kamu berjaya.
6. Lari dari medan pertempuran. Dosa besar bagi mereka yang lari dari peperangan kerana takut tetapi tidak berdosa bagi mereka yang lari kerana ia adalah sebahagian taktik peperangan dan bagi mereka yang mencari perlindungan sebelum meneruskan peperangan.
7.Menuduh perempuan yang suci melakukan zina. Tuduhan zina turut dilemparkan ke atas isteri Baginda Mulia iaitu Aisyah r.a. dan akhirnya turun firman Allah s.w.t. membela dan memberitahu kesucian beliau.
Sertailah Facebook kami : http://facebook.com/pages/PONDOK-HABIB/295419981998

05 Oktober 2011

19 Tanda Kematian yang mulia


19 Tanda Kematian yang mulia
Posted on Mei 31, 2011 by albakriah
Tulisan Ustaz Zawawi Yusoh
MEMANG amat tersentuh dan mengalir air mata ketika melihat jenazah adik-adik kecil yang dipanggil Pemiliknya. Mereka dikebumikan serentak dalam satu lahad.
Takziah kepada keluarga mangsa semoga tabah menghadapi ujian kehilangan yang tersayang. Al-Imam Qurtubi pernah merakamkan hadis nabi yang bermaksud, mati mengejut bagi orang yang baik adalah nikmat manakala mati mengejut bagi yang zalim dan jahat adalah azab.
Memang sedih apabila de ngar berita kematian, tapi bagi yang tahu kategori kematian, ada anugerah di sebalik itu iaitu mati syahid.
Bagi keluarga yang sedang bersedih dengan tragedi terbabit, sedikit hiburan dari tulisan kali ini.
Ini kerana di sana ada satu senarai pakej kematian yang sangat mulia iaitu husnul khatimah atau mati syahid terutama di senarai yang ke lapan dan kesembilan dalam tulisan ini.
Pertama: Mereka yang dapat mengucapkan syahadah menjelang kematian sebagaimana ditunjukkan dalam banyak hadis sahih, antaranya Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “(Barang siapa yang ucapan terakhirnya Laa ilaaha illallah maka dia masuk syurga).” (Hadis Hasan)
Kedua: Kematian yang disertai dengan basahnya kening dengan keringat atau peluh berdasarkan hadis Buraidah bin Hushaib r.a: Dari Buraidah bin Khusaib r.a (bahawa ketika dia berada di Khurasan sedang membesuk seorang sahabatnya yang sakit dia mendapatinya sudah meninggal tiba-tiba keningnya berkeringat maka dia berkata: Allahu Akbar, aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: (Kematian seorang mukmin disertai keringat di keningnya). (Hadis Sahih)
Ketiga: Mereka yang (baik-baik dan soleh) meninggal dunia pada malam Jumaat atau siangnya berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w (tidaklah seorang Muslim yang meninggal pada hari Jumaat atau malam Jumaat melainkan Allah melindunginya daripada seksa kubur).
Keempat: Meninggal dalam keadaan syahid di medan perang sebagaimana ertinya: (Dan janganlah sekali-kali kamu mengira bahawa orang-orang yang terbunuh di jalan Allah mati, tetapi mereka hidup diberi rezeki di sisi Tuhan mereka. Mereka bergembira dengan kurnia yang diberikan Allah kepada mereka dan memberi khabar gembira kepada orang yang belum mengikuti mereka di belakang janganlah mereka takut dan sedih. Mereka memberi khabar gembira dengan kenikmatan dari Allah dan kurnia-Nya dan bahawa Allah tidak mensia-siakan balasan bagi orang-orang beriman). (Surah Ali Imran ayat 169-171)
Rasulullah s.a.w bersabda: “(Orang yang syahid mendapat kan enam perkara: Diampuni dosanya sejak titisan darahnya yang pertama, diperlihatkan tempatnya dalam syurga, dijauhkan dari seksa kubur, diberi keamanan dari goncangan yang dahsyat di hari kiamat, dipakaikan mahkota keimanan, dinikahkan dengan bidadari syurga, diizinkan memberi syafaat bagi tujuh puluh anggota keluarganya.”
Kelima: Mereka yang meninggal ketika berjuang di jalan Allah (bukan terbunuh) berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w: “(Apa yang kalian nilai sebagai syahid antara kalian? Mereka berkata: Ya Rasulullah siapa yang terbunuh di jalan Allah maka dia syahid. Beliau berkata: (Jadi sesungguhnya syuhada’ umatku sedikit ). Mereka berkata: Lalu siapa mereka Ya Rasulullah?
Baginda berkata: (Barang siapa yang terbunuh di jalan Allah syahid, barang siapa yang mati di jalan Allah syahid, barang siapa yang mati kerana wabak taun syahid, barang siapa yang mati kerana penyakit perut syahid dan orang yang tenggelam syahid).”
Keenam: Mati kerana satu wabak penyakit taun berdasarkan beberapa hadis antaranya: Rasulullah s.a.w bersabda: (Wabak taun adalah kesyahidan bagi setiap Muslim).
Ketujuh: Mereka yang mati kerana penyakit dalam perut berdasarkan hadis di atas.
Kelapan dan kesembilan: Mereka yang mati kerana teng gelam dan terkena runtuhan berdasarkan sabda Nabi s.a.w yang bermaksud: (Syuhada ada lima: yang mati kerana wabak taun, kerana penyakit perut, yang tenggelam, yang terkena runtuhan dan yang syahid di jalan Allah).
Kesepuluh: Mereka yang matinya seorang wanita dalam nifasnya disebabkan melahirkan anaknya: Dari Ubadah bin Shamit r. a bahawa Rasulullah s.a.w menjenguk Abdullah bin Rawahah dan berkata: Beliau tidak berpindah dari tempat tidurnya lalu berkata: Tahukah kamu siapa syuhada’ dari umatku? Mereka berkata: Terbunuhnya seorang Muslim adalah syahid. Beliau berkata: (Jadi sesungguhnya para syuhada’ umatku, terbunuhnya seorang Muslim syahid, mati kerana wabak taun syahid, wanita yang mati kerana janinnya syahid (ditarik oleh anaknya dengan tali arinya ke syurga).
Kesebelas dan kedua belas: Mereka yang mati kerana terbakar dan sakit bengkak panas yang menimpa selaput dada di tulang rusuk, ada beberapa hadis yang terkait yang paling masyhur: Dari Jabir bin ‘Atik dengan sanad marfu’: (Syuhada’ ada tujuh selain terbunuh di jalan Allah: yang mati kerana wabak tha’un syahid, yang tenggelam syahid, yang mati kerana sakit bengkak yang panas pada selaput dada syahid, yang sakit perut syahid, yang mati terbakar syahid, yang mati terkena runtuhan syahid, dan wanita yang mati setelah melahirkan syahid).
Ketiga belas: Mereka yang mati kerana sakit TB berdasarkan hadis: Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: (Terbunuh di jalan Allah syahid, wanita yang mati kerana melahirkan syahid, orang yang terbakar syahid, orang yang tenggelam syahid, dan yang mati kerana sakit TB syahid, yang mati kerana sakit perut syahid). (Hadis Hasan)
Keempat belas: Mereka yang mati kerana mempertahankan hartanya yang hendak dirampas. Dalam hal itu ada beberapa hadis di antaranya: Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: (Barang siapa yang terbunuh kerana hartanya (dalam riwayat: barang siapa yang hartanya diambil tidak dengan alasan yang benar lalu dia mempertahankannya dan terbunuh) maka dia syahid).
Kelima belas dan keenam belas: Mereka yang mati kerana mempertahankan agama dan dirinya: Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: (Barang siapa yang terbunuh kerana hartanya syahid, barang siapa yang terbunuh kerana keluarganya syahid, barang siapa yang terbunuh kerana agamanya syahid, barang siapa yang terbunuh kerana darahnya syahid).
Ketujuh belas: Mereka yang mati dalam keadaan ribath (berjaga di perbatasan)
di jalan Allah. Ada dua hadis dalam hal itu salah satunya: Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: (Ribath sehari semalam lebih baik dari berpuasa dan qiyamul lail selama sebulan, dan jika mati maka akan dijalankan untuknya amalan yang biasa dikerjakannya, akan dijalankan rezekinya dan di amankan dari fitnah).
Kelapan belas: Mati ketika melakukan amal soleh berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: (Barang siapa yang mengucapkan: Laa ilaaha illallah mengharapkan wajah Allah lalu wafat setelah mengucapkannya maka dia masuk syurga, barang siapa berpuasa satu hari mengharapkan wajah Allah lalu wafat ketika mengerjakannya maka dia masuk syurga, barang siapa yang bersedekah dengan satu sedekah meng harapkan wajah Allah lalu wafat ketika mengerjakannya maka dia masuk syurga).
Kesembilan belas: Mereka yang dibunuh oleh penguasa yang zalim kerana memberi nasihat kepadanya: Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: (Penghulu para Syuhada’ adalah Hamzah bin Abdul Mutalib dan seseorang yang mendatangi penguasa yang zalim lalu dia memerintahkan yang baik dan melarang dari yang mungkar lalu dia dibunuh nya) Hadis dikeluarkan oleh Al-Hakim dan disahihkannya dan Al Khatib.
Sama-samalah kita berdoa agar kita sama termasuk dalam senarai di atas. Amin Ya Rabbal ‘aalamin

04 Oktober 2011

Nabi manusia pilihan


Nabi manusia pilihan
Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN
DALAM kesempatan ini kita akan membahaskan persoalan tentang hakikat kemanusiaan para nabi. Ini kerana persoalan ini menjadi salah satu sebab tergelincirnya kaki sebahagian daripada kita dalam memahami pokok-pokok pegangan agama.
Kita akan meninjau nas-nas yang jelas menunjukkan bahawa walaupun para nabi a.s adalah manusia tetapi mereka bukanlah manusia biasa yang tiada bezanya langsung dengan manusia biasa seperti kita.
Fahaman yang lebih tepat ialah mereka adalah manusia pilihan Allah yang dikurniakan pelbagai keistimewaan dan kelebihan sesuai dengan kedudukan dan peranan mereka yang begitu mustahak.
Maka adalah salah untuk dikatakan bahawa para nabi adalah manusia biasa ataupun mengatakan golongan itu adalah manusia seperti kita.
Kedua-dua kenyataan itu membawa implikasi meletakkan para nabi pada kedudukan yang lebih rendah daripada martabat mereka yang sebenar.
Sesetengah orang menyangka bahawa para nabi sama dengan manusia yang lain pada semua keadaan dan sifat-sifat mereka. Ini adalah tanggapan yang jelas salah dan kejahilan yang terangan-terangan ditolak oleh dalil-dalil sahih daripada al-Quran dan sunnah.
Meskipun pada hakikat asalnya, kemanusiaan para nabi itu sama sahaja dengan seluruh anak Adam sebagaimana yang dinyatakan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad!), sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu. (al-Kahfi: 110)
Namun, para nabi itu berbeza daripada manusia biasa dalam kebanyakan sifat dan ciri-ciri kejadian mereka.
Jika tidak, apakah keistimewaan mereka berbanding manusia yang lain? Bagaimanakah pula hendak diperlihatkan hikmah dan faedah terpilihnya mereka menjadi nabi daripada manusia biasa yang lain?
Dalam perbahasan ini, kita akan sebutkan beberapa ciri dan sifat istimewa mereka di dunia dan di alam barzakh yang telah ditetapkan bagi mereka berdasarkan nas al-Quran dan sunnah.
Nabi penghulu manusia
Para Nabi adalah manusia pilihan dari kalangan hamba-hamba Allah SWT dan dimuliakan dengan pangkat kenabian. Mereka dianugerahkan dengan hikmah, diberi kekuatan intelektual dan ketajaman fikiran.
Allah memilih mereka untuk menjadi perantara di antara Dia dengan makhluk-Nya. Menyampaikan kepada manusia segala perintah-Nya, memperingatkan mereka tentang kemurkaan-Nya dan balasan azab-Nya.
Para nabi dipertanggungjawabkan membimbing hamba-hamba-Nya kepada perkara-perkara yang membahagiakan mereka di dunia dan akhirat.
Telah terlaksana hikmah Allah memilih para nabi dari kalangan manusia bagi memboleh dan memudahkan umat manusia berkumpul bersama mereka. Mengambil manfaat daripada mereka dan mengikuti tingkahlaku dan akhlak.
Sifat kemanusiaan merupakan kelebihan para nabi. Memang mereka adalah manusia dari jenis manusia juga. Tetapi golongan nabi berbeza daripada manusia lain dengan keistimewaan yang tidak dapat dicapai oleh seorang manusia biasa pun.
Dengan demikian, memerhatikan para nabi hanya dari aspek kemanusiaannya yang biasa semata-mata tanpa adanya aspek-aspek spesifik yang lain adalah pandangan jahiliah yang sesat. Dalam al-Quran, terdapat banyak dalil yang mengisahkan perkara ini.
Di antaranya, perkataan kaum Nabi Nuh tentang nabi mereka, sebagaimana yang dikisahkan dalam al-Quran. Allah SWT berfirman yang bermaksud: Maka berkatalah pemimpin-pemimpin yang kafir daripada kaumnya (Nabi Nuh), “Kita tidak memandangmu (wahai Nuh!) melainkan sebagai seorang manusia seperti kita.” (Hud: 27).
Begitu juga dengan apa yang diperkatakan oleh kaum Nabi Musa dan Harun tentang nabi mereka, sebagaimana yang dikisahkan oleh Allah melalui firman-Nya: Sehingga mereka berkata (dengan angkuhnya), “Patutkah kita beriman kepada dua manusia seperti kita, sedangkan kaum mereka menjadi orang-orang suruhan kita?” (al-Mukminun: 47).
Kaum Thamud juga mengatakan hal yang sama terhadap nabi mereka, Nabi Saleh a.s sebagaimana yang terdapat dalam al-Quran: Engkau hanyalah seorang manusia seperti kita; oleh itu, bawakanlah satu tanda (mukjizat) jika betul engkau daripada orang-orang yang benar. (al-Shu’araa: 154).
Begitu juga dengan apa yang dikatakan oleh kaum Nabi Syuaib (penduduk Madyan), pemilik (penghuni) al-Aikah tentang Nabi mereka, sebagaimana yang dikisahkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran: Mereka menjawab, “Sesungguhnya engkau ini (hai Syuaib!) hanyalah salah seorang daripada golongan yang disihir. Dan engkau hanyalah seorang manusia seperti kita; dan sesungguhnya kita fikir engkau ini daripada orang-orang yang dusta”. (al-Shu’araa: 185-186).
Bahkan juga, apa yang diperkatakan oleh kaum musyrikin terhadap Saidina Muhammad yang memandang baginda hanya manusia biasa seperti yang dikisahkan oleh Allah melalui firman-Nya: Mereka berkata: “Mengapakah Rasul ini memakan makanan dan berjalan-jalan di pasar-pasar?” (al-Furqaan: 7).
Jika dilihat kepada Mukjizat ataupun Irhas iaitu kelebihan-kelebihan luar biasa yang dikurniakan kepada para nabi a.s sama ada selepas atau sebelum dilantik ke tugas tersebut, nescaya kita perlu mengaku bahawa mereka bukanlah manusia biasa bahkan manusia-manusia pilihan yang diberi pelbagai keistimewaan.
Minggu hadapan, kita akan, insya-Allah, melihat secara khusus beberapa kelebihan yang dikurniakan Allah kepada rasul kita, Muhammad.