07 September 2011

Murahnya Gelaran “Ulama’” Pada Zaman Ini


Murahnya Gelaran “Ulama’” Pada Zaman Ini
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh; Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam; Selawat dan Salam ke atas Rasulullah SAW, Rahmat ke seluruh alam; Juga kepada ahli keluarga baginda dan para sahabat r.a. yang telah bertebaran di merata alam;
1. Pertama sekali, penulis memohon maaf kepada para pembaca kerana tidak dapat “update” penulisan di blog ini seperti blog2 yang lain-lain. Ini adalah kerana kelemahan penulis sendiri dan semoga Allah memberi tawfiqNya untuk penulis terus berkongsi serba sedikit ilmu (“Dan tidaklah kamu semua diberikan ilmu melainkan sangat sedikit.”), pengalaman dan pemerhatian penulis bersama para pembaca.
2. Pada posting yang ringkas kali ini, penulis ingin meluahkan rasa kesal di atas sikap sebahagian manusia yang terlalu mudah menggelarkan seseorang itu sebagai salah seorang daripada kalangan ulama’. Kalaupun hendak memuji, janganlah membuat pujian dan dakwaan bukan pada tempatnya.
3. Betapa mahalnya gelaran ulama’ ini sehinggakan Al-Quran hanya menyebut kalimah “al-Ulama’” ini hanya sekali sahaja iaitu dalam surah Fatir ayat 29 iaitu [tidak termasuk istilah "Ulama' Bani Israil" di dalam al-Shu'ara': 197]:
إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ
Terjemahan: ‘Hanyasanya yang takut kepada Allah SWT itu di kalangan hamba-hambanya ialah orang-orang berilmu (al-Ulama’)”.
4. Dan Rasulullah SAW ialah hamba Allah yang paling takut kepada Allah dan yang paling mengenali Allah SWT sepertimana sabdaan baginda SAW (Sahih Ibn Hibban):
والله إني أتقاكم لله وأخشاكم له
Terjemahan: “Demi Allah, akulah yang paling bertaqwa kepada Allah di kalangan kamu, dan yang paling takut kepadaNya di kalangan kamu.”
Dalam riwayat yang lain, Rasulullah SAW bersabda (Sahih Bukhari):
إِنَّ أَتْقَاكُمْ وَأَعْلَمَكُمْ بِاللَّهِ أَنَا
Terjemahan: “Sesungguhnya yang paling bertaqwa dan yang paling mengenal Allah di kalangan kamu ialah daku”
5. Berdasarkan ini, seorang alim di kalangan para ulama’ itu mempunyai kedudukan yang paling hampir dengan Rasulullah SAW.
6. Al-Quran tidak menyatakan sifat para ulama itu sebagai suka berdebat2 atau petah berkata2 atau banyak karangannya atau banyak pengikutnya atau luas pengaruhnya atau hebat fizikalnya atau memiliki PhD atau gelaran Profesor dan lain-lain. Perkara-perkara tersebut masih belum menjadi petunjuk2 yang pasti kecuali dizahirkan dengan sokongan-sokongan yang lain seperti persepakatan ummah di atas penerimaannya sebagai ulama’, dan lain-lain.
7. Namun begitu, al-Quran mengunci kemas istilah ulama’ itu dengan “ketakutan kepada Allah SWT”. Dari sudut bahasa Arab, kalimah “innama” itu adalah salah satu bentuk uslub al-hasr wa al-ikhtisas yang memberi makna limitation dan privilege. Bukankah sifat Takut (dan iman) itu sesuatu yang tidak zahir dan berada di dalam hati seseorang ulama’? Ya, maknanya bukan mudah untuk mengenal hakikat para ulama’ itu.
8. Imam al-Ghazali menyatakan lima ciri-ciri yang ada pada para ulama’ yang besar yang disepakati ummat ini seperti Imam al-Shafie, Imam Malik, Imam Abu Hanifah, Imam Ahmad Ibn Hanbal dan Imam Sufyan al-Thawi iaitu:
وكل واحد منهم كان عابداً وزاهداً وعالماً بعلوم الآخرة وفقيهاً في مصالح الخلق في الدنيا ومريداً بفقهه وجه الله تعالى
Tejamahan: “Setiap daripada mereka itu kuat ibadahnya, zuhud, berilmu dengan ilmu-ilmu akhirat, dan faqih di dalam maslahat makhluq di dunia (faqih dalam ilmu hukum ahkam zahir fiqh), dan mengkehendaki dengan ilmu mereka keredaan Allah”
Seorang ulama’ bukan sahaja mempunyai ciri-ciri ini, namun dia juga mampu mendidik ciri-ciri ini pada anak-anak didiknya dan masyarakat sekiranya sekaliannya mempunyai niat yang benar dan sahih.
9. Jadi, sedarlah kita bahawa kedudukan ulama’ itu terlalu tinggi untuk dimurahkan istilahnya pada hari ini. Ambillah pengajaran al-Quran.
10. Hari ini, orang yang berkata-kata kesat, tidak memelihara hak sesama Muslim, merendah2kan umat Islam, bahkan mencaci dan mengkafir sesama Muslim, tidak menghormati Rasulullah SAW dan ahli keluarga baginda r.a., tidak menghormati ulama’2 terdahulu terus dipanggil seorang ulama’ kerana zahir di dalam program televisyen dan internet ataupun menggenggam segulung ijazah PhD ataupun menang bertanding di dalam sebuah parti politik atau memasuki parti politik atau menubuhkan persatuan di atas nama ulama’ atau pakaiannya dan sebagainya. Sungguh murah gelaran ulama’ ini untuk dijadikan batu loncatan dan pakaian.
11. Ya! Banyak penggunaan istilah agama berkaitan gelaran kepada para ilmuan agama pada hari ini termasuk di dalam bab “al-tawassu’ fi al-istilah” iaitu kelonggaran penggunaan istilah dan bukan kerana tahqiqnya individu tersebut pada gelarannya… melainkan sangat sedikit.
12. Selain daripada istilah ulama’, istilah tajdid, islah, jihad dan lain-lain begitu mudah digunakan untuk menghalalkan tindakan masing-masing dan pendapat masing-masing dan menyalahkan orang lain.
11. Istilah2 ini dapat menjadi pakaian menutupi kebatilan yang terselindung di sebaliknya, khususnya fitnah dan bid’ah di dalam agama, sebagaimana ahli bid’ah, si jahil dan si fasiq boleh menutup bid’ah, kejahilan dan kefasiqan di sebalik pakaian seorang alim. [hal ini dipanggil tadlis]
13. Maka, berhati-hatilah kita di dalam urusan agama kita dan semoga Allah tidak menjadikan musibah kita di dalam agama kita sepertimana doa Rasulullah SAW (Sunan al-Tirmizi):
وَلَا تَجْعَلْ مُصِيبَتَنَا فِي دِينِنَا
Terjemahan: “Dan janganlah engkau (Ya Allah!) menjadikan musibah kami di dalam agama kami.”
14. Semoga Allah SWT menunjukkan kita jalan yang lurus. Al-Fatihah.
Wassalamu ‘alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan