28 Februari 2011

Insan Termulia di Kalangan Yang Biasa

Insan Termulia di Kalangan Yang Biasa

Insan Termulia di Kalangan Yang Biasa
Insan Termulia Di Kalangan Yang Biasa
Apa yang Tuan-Puan fikirkan mengenai seorang lelaki bersikap amat mulia, beliau lahir dan dibesarkan di celah-celah kematian demi kematian orang-orang yang amat mengasihinya dan dia teramat mengasihi akan mereka? Lahir dari rahim sejarah, ketika tidak seorangpun mampu menggugat keperibadian selain kemuliaan keperibadiannya sendiri. Beliau merupakan produk ta’dib Rabbani (didikan Tuhan) yang menyejukkan matahari dalam panasnya dan menggetarkan jutaan bibir dengan sebutan namanya, saat muadzin mengumandangkan suara azan. ALLAH….ALLAHU ALLAH…
Di rumahnya tidak dijumpai perabot-perabot mahal yang menjadi gilaan para pembesar negara, raja, sultan juga tidak mempunyai ramainya pengikut melainkan dirinya yang mulia. Beliau makan di lantai seperti budak, sehingga para pencintanya tidak mampu membezakan dirinya yang mulia di kalangan para sahabat disisinya. Tidak seorang pembantunya yang pernah mengeluh pernah dipukul atau diperlakukan sehinanya daripada tangannya yang mulia.
Dalam kesibukannya, beliau masih mampu bertandang ke rumah puteri dan menantu tercintanya, Fathimah Azzahra dan Ali bin Abi Thalib. Fathimah merasakan kasih sayangnya tanpa membuatnya menjadi manja atau kehilangan sifat berdikari. Saat Bani Makhzum memintanya membatalkan hukuman hudud diatas kesalahan jenayah seorang wanita bangsawan, Baginda Shollallahu Alaihi Wassalam menegaskan: Sesungguhnya yang melakukan kebinasaan orang-orang sebelum kamu ialah, apabila seorang bangsawan mencuri, tetapi mereka biarkan dia dan apabila yang mencuri itu seorang rakyat jelata, maka mereka tegakkan hukum keatasnya. Demi ALLAH, seandainya Fathimah anak Muhammad mencuri, maka Muhammad tetap akan memotong tangannya.”
Hari-hari Baginda Shollallahu Alaihi Wassalam penuh dengan kerja dan intaian bahaya. Tetapi tidak menghalanginya untuk lebih dari satu atau dua kali berlumba jalan dengan Humaira, sebutan kesayangan yang Baginda Shollallahu Alaihi Wassalam berikan untuk Aisyah binti Abu Bakar Asshiddiq. Masih adakah lelaki, suami di kalangan kita hari ini yang menyantuni wanita, isteri sebagaimana Sayyiduna Muhammad Shollallahu Alaihi Wassalam muliakan wanita? ALLAH….
Lambang kecintaan, paduan kecerdasan, dan pesona diri dijalin dengan penuh hormat dan kasih kepada ayahnda isteri Baginda Shollallahu Alaihi Wassalam yang diberi gelar Asshiddiq, sesuai dengan namanya “yang membenarkan”. Suatu kewajaran yang menakjubkan ketika dalam sibuknya Baginda Shollallahu Alaihi Wassalam masih sempat memerah susu kambing serta menampal pakaian Baginda Shollallahu Alaihi Wassalam yang koyak. Tidak membebankan para isteri Baginda Shollallahu Alaihi Wassalam. Wahai pemilik akhlak terindah, semoga kami menyantuni keindahan akhlakmu wahai Nabi Shollallahu Alaihi Wassalam.
Setiap kali para sahabat atau keluarganya memanggil, Baginda Shollallahu Alaihi Wassalam menjawab: “Labbaik”. Dialah yang terbaik dengan karisma di luar rumah, namun Baginda Shollallahu Alaihi Wassalam masih seorang ketua keluarga terbaik ketika Baginda Shollallahu Alaihi Wassalam berada di rumah.
Di bawah pimpinannya, lelaki menemui jati dirinya sebagai lelaki, pada masa yang sama wanita yang menjadi simbol kehinaan dizaman jahiliah mendapat kedudukan amat mulia di sisi masyarakat. “Sebaik-baik kamu ialah yang terbaik terhadap keluarganya dan akulah orang terbaik di antara kamu terhadap keluargaku.” “Tidak akan memuliakan wanita kecuali seorang mulia dan tidak akan menghina wanita kecuali seorang hina.” demikian sabda Baginda Shollallahu Alaihi Wassalam.
Baginda Shollallahu Alaihi Wassalam bersama barisan mujahidin didalam 27 kali pertempuran secara langsung (ghazwah) atau diketuai dikalangan para sahabatnya (sariyah) sebanyak 35 kali, di dalam pertempuran-pertempuran tersebut, Baginda Shollallahu Alaihi Wassalam masih sempat mengajarkan Al-Qur’an, sunnah, hukum-hakam, kepimimpinan, menerima delegasi asing, memimpin rumahtangga bahkan hubungan yang paling khusus dalam keluarga tanpa kehilangan adab dan wibawa. Sedangkan waktu berlangsungnya di antara dua petempuran itu tidak lebih dari 1 hingga 7 bulan. Itulah kepimpinan yang ditinggalkan oleh Sayyiduna Muhammad Shollallahu Alaihi Wassalam kepada umat Baginda Shollallahu Alaihi Wassalam sehingga zaman mutakhir ini.
Rahsia keindahan ALLAH Subhanahu Wa Taala terus dihulurkan kepada kita dengan munculnya hadith ini kepada kita, sehingga sampailah ucapan mulia ini dari lisan manusia yang paling suci dan indah :
كُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُوْلٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ
“Setiap kalian adalah pemimpin, dan setiap kalian akan diminta bertanggungjawab atas yang dipimpinnya”
Jika terdetik contoh diminda Tuan-Puan, usah pantas membandingkan kepimpinan negara. Kita cermin dahulu diri kita sebagai pemimpin kepada wanita, adakah sudah tertunai hak wanita dengan menghormati kemuliaan mereka? Tidak berdua-duaan sebelum akad nikah? Suami melarang isteri daripada mendedahkan aurat? Meninggi suara? Lelaki yang menaungi sebagai ketua jabatan, melaksanakan amanahnya dengan berkesan tanpa salah guna kuasa?
Tuan-Puan, tiada manusia di muka bumi ini yang setiap saat dan peristiwa didalam hidupnya dicatatkan sebagai sejarah berharga sehingga kekal selama 1432 tahun lamanya. Suatu hari datanglah ke masjid seorang Arab disebalik gunung yang belum mengerti adab di masjid. Tiba-tiba dia kencing di lantai masjid yang beralaskan pasir. Para sahabat sangat marah dan hampir memukulnya. Sabdanya kepada mereka : “Jangan, biarkan dia selesaikan hajatnya.” Sang Badwi kagum dengan akhlak Baginda Shollallahu Alaihi Wassalam, dia mengangkat tangannya seraya berdoa, “Ya ALLAH, kasihilah aku dan Muhammad. Jangan kasihi seorangpun bersama kami.” Dengan tersenyum Baginda Shollallahu Alaihi Wassalam menegur Badwi tadi agar tidak mempersempitkan rahmat ALLAH hanya kepada mereka berdua sahaja. ALLAHU ALLAH…
Baginda Shollallahu Alaihi Wassalam kerap bergurau senda dengan para sahabatnya, berhubungan rapat dengan mereka, bermain dengan anak-anak, bahkan memangku mereka di pangkuannya. Tidak dizaman kita, sering memperolokkan teman-taulan sebagai bahan hiburan sehingga mereka berkecil hati. Baginda Shollallahu Alaihi Wassalam menerima undangan mereka yang merdeka, budak lelaki atau budak perempuan juga kaum miskin. Baginda Shollallahu Alaihi Wassalam tidak kekok menziarahi rakyat yang sakit walaupun berada jauh di Madinah. Baginda Shollallahu Alaihi Wassalam menerima permohonan maaf orang yang menyakiti Baginda Shollallahu Alaihi Wassalam walaupun seberat mana kesakitan yang dialami Baginda Shollallahu Alaihi Wassalam.
Baginda Shollallahu Alaihi Wassalam pada kebiasaannya terlebih dahulu memberi salam dan berjabat tangan kepada sesiapa sahaja yang menjumpainya dan tidak pernah menarik tangan itu sebelum sahabat tersebut yang menariknya. Baginda Shollallahu Alaihi Wassalam tidak pernah menjulurkan kaki di tengah sahabatnya sehingga menyempitkan ruang bagi mereka samada ketika di masjid atau seharian bersama. Baginda Shollallahu Alaihi Wassalam memuliakan sesiapa sahaja yang datang, kadangkala Baginda Shollallahu Alaihi Wassalam membentangkan bajunya yang membaluti tubuhnya yang mulia. Bahkan Baginda Shollallahu Alaihi Wassalam memberikan alas duduknya dan dengan bersungguh-sungguh Baginda Shollallahu Alaihi Wassalam memanggil mereka dengan nama yang paling mereka sukai. Baginda Shollallahu Alaihi Wassalam memberi mereka kuniyah (sebutan bapa atau ibu kepada si Fulan). Tidak pernah Baginda Shollallahu Alaihi Wassalam memotong pembicaraan orang, kecuali jika mereka berlebihan didalam bicara. Apabila seseorang mendekatinya ketika Baginda Shollallahu Alaihi Wassalam menunaikan solat, Baginda Shollallahu Alaihi Wassalam segera menyelesaikan solatnya dan segera bertanya apa yang dihajatkan oleh mereka.
Pada suatu hari ketika berada didalam khemah di medan pertempuran, Nabi Muhammad Shollallahu Alaihi Wassalam bersabda: “Seandainya ada seorang yang soleh mahu mengawalku pada malam ini”. Dengan kesedaran dan cinta yang tinggi, beberapa sahabat mengawal khemah Rasulullah Shollallahu Alaihi Wassalam. Di tengah malam terdengar bunyi bising yang mencurigakan. Khuatir sesuatu tidak baik berlaku, para sahabat bergegas ke arah bunyi tersebut. Ternyata Sayyiduna Muhammad Shollallahu Alaihi Wassalam telah berada disana mendahului mereka, Baginda Shollallahu Alaihi Wassalam sedia tegak segak diatas kuda tanpa pelana, “Bertenang, hanya angin gurun,” sabda Baginda Shollallahu Alaihi Wassalam. Nyatalah bahawa keinginan Baginda Shollallahu Alaihi Wassalam supaya adanya pengawal itu bukan kerana takut atau manja, tetapi suatu tarbiyyah disiplin dan kesetiaan kepada para sahabat.
Ummul Mukminin Aisyah RA berkata: “Rasulullah Shollallahu Alaihi Wassalam wafat tanpa meninggalkan makanan yang biasa dimakan oleh makhluk hidup, selain seikat gandum dalam simpananku. Saat ruh Sayyiduna Muhammad Shollallahu Alaihi Wassalam dijemput, baju besinya masih digadaikan kepada seorang Yahudi dengan harga 30 gantang gandum.” ALLAHU ALLAH. Kemiskinan Nabi kita Sayyiduna Muhammad Shollallahu Alaihi Wassalam menjadi isyarat jelas kepada umat manusia, betapa harta bukan syarat bahagia untuk menggegarkan dunia. Baginda Shollallahu Alaihi Wassalam mencahayai seluruh alam walaupun berupaya mengenggam harta dunia.
Sayyiduna Muhammad Shollallahu Alaihi Wassalam ketika berangkat menunaikan haji dengan kenderaan yang sangat sederhana dan pakaian tidak melebihi 4 dirham harganya, Baginda Shollallahu Alaihi Wassalam berdoa, “Ya Allah, jadikanlah haji ini tidak mengandungi riya dan sum’ah.”
Ketika kemenangan besar semasa Makkah ditakluk dengan sejumlah besar pasukan muslimin, Sayyiduna Muhammad Shollallahu Alaihi Wassalam menundukkan kepalanya yang mulia, sehingga nyaris menyentuh punggung untanya sambil mengulang-ulang tasbih, tahmid dan istighfar. Baginda Shollallahu Alaihi Wassalam tidak mabuk dengan kemenangan.
Perhatikanlah kemenangan yang diraikan kita didunia ini. Kemenangan yang pada awalnya membawa hampirnya kita kepada ALLAH Subhanahu Wa Taala, tetapi menjadi ia sia-sia kerana rosaknya akhlak. Kita mencerca pihak lawan yang tewas dengan hinaan provokasi, seolah-olah mereka berkedudukan hina jika mulut kita berbicara.
Betapapun sukarnya mengecapi lautan kemuliaan yang dimiliki insan kamil ini, beberapa kalimat ini pasti membuatkan kita menyesal kerana tidak mencintainya atau tidak menggerakkan bibir mengucap sholawat ke atasnya: “Semua nabi mendapat hak untuk mengangkat doa yang tidak akan ditolak dan aku menyimpannya untuk umatku kelak di padang mahsyar nanti.” ALLAHU ALLAH…mulianya peribadimu duhai Nabi Shollallahu Alaihi Wassalam. Apakah akan ada ruang buat diriku yang penuh noda dosa ini disaat umatmu mengharapkan syafaat darimu.
Ketika masyarakat Thaif mencederakan dan menghina Baginda Shollallahu Alaihi Wassalam, malaikat penjaga bukit menawarkan untuk menghimpit mereka dengan bukit. Baginda Shollallahu Alaihi Wassalam menolak, “Jika tidak mereka, aku berharap keturunan di sulbi mereka kelak akan menerima dakwah ini, mengabdikan diri mereka hanya kepada ALLAH sahaja dan tidak menyekutukan-Nya dengan apapun.”
Barangkali dua kata kunci ini menjadi gambaran kebesaran jiwa Penghulu segala Nabi kita ini. Pertama, ALLAH, sebagai sumber kekuatan yang Maha dahsyat, kepada-Nya Rasulullah Shollallahu Alaihi Wassalam begitu yakin menumpahkan semua keluhannya. Inilah yang membuatkan Junjungan Mulia Sayyiduna Muhammad Shollallahu Alaihi Wassalam amat tabah menerima segala risiko perjuangan, walaupun dijauhi kaum kerabat, sahabat yang membenci, dan khalayak yang mengusirnya dari negeri yang dicintai Baginda Shollallahu Alaihi Wassalam. Kedua, Ummati, ya itu nama KITA, nama terkandung didalamnya saya-isteri-ibu-bapa-tuan-puan didalam lafaz “UMMATI” segala hamparan akal, nafsu dan perilaku yang menentang untuk dibongkar, dipasang, diperbaiki, ditingkatkan dan diukir oleh Baginda Shollallahu Alaihi Wassalam dengan berjiwa besar, amanah, sabar dan tertib dalam memimpin ummah.
Ya, Ummati, apa masih tidak cukupkah semua keutamaan ini menggetarkan hatimu dengan cinta, menggerakkan tubuhmu dengan sunnah dan qudwah serta mulutmu dengan ucapan sholawat? ALLAH tidak mencukupkan pernyataan-Nya bahawa Sayyiduna Muhammad Shollallahu Alaihi Wassalam dan para malaikat bersholawat ke atasnya [Surah Al Ahzab: 56], justeru Baginda Shollallahu Alaihi Wassalam menyatakan dengan begitu menyentuh jiwa dan rasa perintah tersebut, “Wahai orang-orang yang beriman, bersholawatlah atasnya dan bersalamlah dengan sebenar-benar salam.”
WALLAHU’alam

http://pondokhabib.wordpress.com/2011/02/28/insan-termulia-di-kalangan-yang-biasa/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan