Menghayati keistimewaan bulan Rejab
DIkirim oleh epondok di Jun 20, 2010
Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN
Dengan izin Allah SWT, kita sudahpun berada di pertengahan bulan Rejab dalam tahun Hijrah 1431 ini. Jika diperhatikan, manusia berbeza-beza dalam menyambut kedatangan bulan Rejab setiap tahun.
Ada yang langsung tidak menyedari datang dan perginya Rejab kerana terlampau sibuk dan kurang peka pula pada perjalanan takwim Islam. Tidak kurang yang menyambut kedatangan Rejab dengan penuh gembira dan bersemangat serta mempertingkatkan amalan di dalamnya.
Ada pula yang menyambutnya dengan terlampau mempermasalahkan dan mempertikaikan keistimewaannya dan kewajaran menambahkan amalan padanya.
Kita merasakan bahawa mereka yang paling beruntung adalah mereka yang memahami dan mengenali Rejab serta menunaikan hak hari-harinya sebagaimana yang selayaknya tanpa melampau atau mencuaikan.
Bagi kebanyakan mereka yang meraikan kedatangan Rejab, bulan ini dirasakan begitu istimewa kerana ia menandakan hampir ketibaan tetamu agung, Ramadan al-Mubarak.
Ramadan sudah tentulah dirindui dan dinanti-nanti oleh setiap mereka yang beriman dan para pencinta Allah SWT dan Rasul-Nya SAW. Tempias kecintaan kita kepada Ramadan turut terkena pada Rejab dan Syaaban sebagai pengapit dan pendamping setia kepada Ramadan.
Keterkaitan dalam keberkatan bulan-bulan Rejab, Syaaban dan Ramadan terlihat dalam sepotong doa yang diriwayatkan oleh Anas r.a daripada Rasulullah SAW yang bererti, “Ya Allah, Berkatilah kami pada bulan Rejab dan Syaaban, serta panjangkanlah umur kami hingga sampai ke bulan Ramadan”. (diriwayatkan oleh Imam Baihaqi dalam al-Syua’aab, Ibn Abi al-Dunya dan Ibn Sunniy).
Sebenarnya keistimewaan Rejab turut disebut di dalam al-Quran dengan menyenaraikannya sebagai salah satu daripada empat bulan haram. Allah berfirman yang maksud-Nya: Sesungguhnya bilangan bulan disisi Allah ialah 12 bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram…. (at-Taubah: 36)
Para ulama bersepakat Rejab adalah antara bulan yang dimaksudkan oleh Allah SWT dalam ayat ini dan beberapa ayat lain. Jelas bahawa Allah SWT sendiri di dalam al-Quran telah memuliakan bulan Rejab dengan mengisytiharkannya sebagai salah satu daripada bulan-bulan haram.
Mengikut pandangan yang masyhur di kalangan ulama, Allah SWT juga telah memuliakan bulan Rejab dengan berlakunya di antara peristiwa terpenting dalam sirah Nabi SAW iaitu peristiwa Israk dan Mikraj di dalamnya.
Sebagai golongan hamba-Nya yang terpilih, keistimewaan bulan Rejab tidak terlepas daripada pandangan ulama baik dahulu dan sekarang. Mereka telah menunjukkan contoh serta menggalakkan kita mempertingkatkan amalan dengan bersangka baik dengan Allah SWT bahawa dengan keberkatan bulan ini ganjaran amalan dan rahmat Allah SWT akan berlipat ganda. (Imam Ibn Jarir al-Tobari ada meriwayatkan pandangan Ibn Abbas r.a mengenai hal ini dalam tafsirnya).
Jika dikira hubungan Rejab, Syaaban dan Ramadan memang sesuailah kita lebih banyak berpuasa dan solat sunat, tilawah al-Quran, berzikir dan bersedekah sebagai membina momentum ke arah penghayatan Ramadan yang lebih cemerlang.
Sebahagian ulama menganjurkan kita membanyakkan istighfar di bulan Rejab dengan semangat al-Takhalliy iaitu untuk mengosongkan atau membersihkan diri kita. Ini disusuli penganjuran kita memperbanyakkan berselawat ke atas Nabi SAW di bulan Syaaban sebagai fasa al-Tahalliy yang bererti mengisi atau memperhiaskan diri sesudah diri kita dikosongkan dan dibersihkan dengan istighfar dan taubat.
Sesudah kita bersiap dengan membersih dan memperhiaskan diri barulah layak untuk kita bertaqarrub langsung dengan Allah SWT (al-Tajalliy) dengan memperbanyakkan tilawah al-Quran, sepanjang Ramadan.
Jika direnungi, anjuran para ulama ini sangat mendalam falsafah dan hikmahnya demi membantu kita menghayati bulan-bulan yang mulia ini dengan lebih bermakna.
Jika menjadi keyakinan setiap mukmin bahawa hidup dunia ini sebagai suatu ujian atau peperiksaan besar, maka Ramadan dan segala hari dan bulan yang istimewa dalam Islam bolehlah dianggap sebagai kelas-kelas tambahan atau ujian-ujian latihan. Ia akan mendorong kita sentiasa peka dan siap-siaga dalam mengharungi proses ujian tersebut.
Dengan segala kelemahan yang ada pada diri insan adalah sukar untuk menempah kejayaan dalam ujian kehidupan ini jika kita tidak dapat menumpang belas ihsan dan rahmat Ilahi. Dan sememangnya Allah SWT maha kaya dengan sifat rahim, ihsan dan adil serta segala sifat-sifat kesempurnaan.
Di antara gambaran ihsan dan keadilan Allah SWT bagi kita para hambanya yang diletakkan dalam ujian yang getir ini, kita tidaklah dibiarkan sendirian tanpa panduan. Selari dengan fitrah manusia sukakan kepelbagaian, silih-berganti hari dan bulan Islam berserta dengan kaitannya dengan sirah Nabi memberi ruang untuk kita memperkukuhkan tautan kita dengan Allah SWT dan Rasul-Nya SAW.
Di bulan Rejab ini banyak masjid, surau dan institusi mengambil peluang mengadakan ceramah dan majlis Israk Mikraj. Perbuatan ini jika dianggap sebagai suatu adat dan tradisi untuk menghimpunkan orang ramai bagi mendekatkan diri mereka dengan agama tanpa dianggap sebagai suatu pensyariatan adalah suatu amalan yang terpuji dan tidak bercanggah dengan mana-mana usul agama.
Malah para pendakwah dan mereka yang cintakan agama sepatutnya sentiasa mencari munasabah bagi menghimpun orang-ramai dalam majlis-majlis yang dipenuhi dengan penambahan ilmu, peringatan, doa dan zikir.
Inilah antara pandangan tokoh besar ulama dunia Islam, al-Muhaddith Dr. Sayyid Muhammad Alawi al-Maliki al-Hasani r.a dalam tulisan khususnya mengenai Israk dan Mikraj bertajuk al-Anwar al-Bahiyyah min Isra’ wa Mi’raj Khayr al-Bariyyah.
Beliau turut menegur golongan yang menentang penganjuran majlis sedemikian dengan katanya: “Memanfaatkan perhimpunan orang ramai dengan memberikan peringatan, petunjuk, nasihat dan mengarahkan mereka kepada kebaikan adalah lebih utama daripada menghalang, menolak dan mengingkari perhimpunan mereka dengan alasan yang tidak ke mana. Selama ini pun, apa yang dapat dilihat tegahan mereka tidak pun memberikan sebarang kesan”.
Sememangnya peristiwa Israk dan Mikraj menyajikan pelbagai pengajaran untuk memperkukuhkan lagi ikatan iman umat. Selain antara mukjizat besar yang membuktikan kenabian Nabi kita SAW, ia telah menjadi saat umat Islam dianugerahi ibadah solat sebagai Mikraj roh kepada Allah setiap hari.
Ia juga memperjelaskan keistimewaan kedudukan kita sebagai umat Nabi SAW dengan sebab menumpang keistimewaan dan keutamaan Nabi SAW yang menjadi Imam segala Nabi dan Rasul. Melalui peristiwa tersebut kita juga diperingatkan realiti kehidupan akhirat dengan balasan azab dan nikmat yang akhirnya meletakkan segala yang kita lalui dan punyai dalam kehidupan ini dalam perspektifnya yang sebenar.
Inilah sekadar segelintir perkara iktibar di sebalik kehadiran bulan Rejab dan peristiwa Israk dan Mikraj yang wajar diperincikan lagi dan diulang-ulangkan.
Malangnya ada juga penceramah yang kurang berhati-hati lalu dalam membicarakan tentang peristiwa ini turut membahaskan isu-isu kontroversi seperti mensabitkan tempat dan sifat bagi Allah SWT, Maha Suci Allah daripada menyerupai makhluknya.
Tokoh ulama mutakhir, Sheikh Yusuf al-Dijwi ada menegur tentang perkara ini dalam himpunan tulisan dan fatwanya.
Beliau menegaskan, adalah tidak wajar ayat-ayat mutashabihat berkaitan dengan isu ini dibicarakan kecuali di dalam majlis-majlis khusus di kalangan para ulama berdasarkan keperluan. (Maqalaat wa Fatawa al-Shaikh Yusuf al-Dijwi, (Kaherah, Dar al-Basoir, 2006) Jld 2, ms.724)
Semoga kita dikurniakan kesedaran, kesihatan, semangat dan himmah yang tinggi dalam naungan taufik untuk menunaikan hak setiap hari yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada kita. Semoga bulan Rejab, Syaaban dan Ramadan kita tahun kita lebih baik daripada tahun sebelumnya.
http://pondokhabib.wordpress.com/2010/06/21/menghayati-keistimewaan-bulan-rejab-2/